PTPTN pertimbang cadangan pemansuhan, kembalikan diskaun

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata pihaknya akan mempertimbangkan semua cadangan pihak luar termasuk mereka yang mahu diskaun bayaran balik PTPTN dikembalikan dan pemansuhannya.

Bagaimanapun menurut Wan Saiful, segala cadangan yang diberikan itu akan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kabinet untuk sebarang keputusan akhir.

“Sebenarnya dari segi liabiliti sekarang ni, saya rasa tanggungan kita memang amat besar, dan saya mengalu-alukan cadangan yang diberikan oleh semua pihak.

“Yang kita boleh lakukan adalah memastikan bahawa kempen penabungan kita berjalan lancar supaya kebergantungan rakyat kepada hutang dapat dikurangkan,” ujar Wan Saiful.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Back To School anjuran PTPTN di Ipoh pada Rabu.

Perwakilan Puteri UMNO mengemukakan dalam usul mereka di Perhimpunan Agung baru-baru ini mahu PTPTN mengembalikan kemudahan diskaun untuk pembayaran balik pinjaman itu.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tebrau, Fadilah Suradi dipetik sebagai berkata, tawaran pelupusan hutang PTPTN bagi graduan yang beroleh ijazah kepujian kelas pertama juga tidak lagi dinikmati.

Rujukan:
Puteri UMNO: Kembalikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN