Program beli produk muslim dulu dirancakkan

67
0

IPOH – Lebih banyak sesi turun padang berhubung program Beli Produk Muslim Dulu (BMF) akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak pengurusan masjid di negeri ini sekali gus memperluaskan capaian kepada pengguna.

Program yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mulai Oktober ini termasuk membawa usahawan-usahawan untuk mempromosikan pelbagai produk keluaran masing-masing secara langsung.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) negeri Perak, Idham Lim berkata, program tersebut bagi memastikan gelombang kempen BMF diketahu segenap lapisan masyarakat dan tidak terhad kepada pengguna Islam atau orang-orang Melayu sahaja.

“Kita telah pun dihubungi oleh pihak-pihak masjid (di negeri Perak) untuk melancarkan program sama di peringkat daerah dan hasil perbincangan perkara ini akan dimulakan pada Oktober nanti.

“Ini merupakan kelangsungan daripada usaha sama yang dilakukan pada peringkat pusat dan negeri supaya kempen BMF diketahui umum demi kebaikan ummah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pelancaran Belilah Produk Muslim peringkat negeri di sini hari ini.

Terdahulu majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Ummah Pusat, Mohd. Zai Mustafa dan turut dihadiri Pegawai Pejabat Mufti negeri Perak, Mohamad Amri Alhusni Mohamad Dasukui mewakili Mufti negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Mengulas lanjut kata Idham, seperti yang dijelaskan sebelum ini, BMF bukanlah untuk menolak produk keluaran pengusaha lain sebaliknya merupakan satu alternatif bagi memudahkan pengguna muslim mendapatkan produk halal keluaran komuniti Islam sendiri.

“Sebenarnya kempen ini yang akan menjadi titik tolak kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan untuk membantu merancakkan ekonomi usahwan muslim yang selama ini dilihat kurang berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Zai berkata, program BMF akan dipermudahkan lagi menerusi pengenalan platform perniagaan online, Abata iaitu khusus bagi memasarkan produk dan perkhidmatan keluaran usahawan muslim.

Katanya, aplikasi digital Abata itu sudah tersedia dan boleh dimuat turun menerusi aplikasi Google Play Store manakala iOS bagi Apple bermula 1 Oktober nanti.-UTUSAN ONLINE