PRN Melaka: ‘Terasa hati’ terhadap layanan Bersatu, Pak Wan akan umum sesuatu

0
936
PRN Melaka: ‘Terasa hati’ terhadap layanan Bersatu, Pak Wan akan umum sesuatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Mohd Yusof, memberi bayangan akan mengumumkan sesuatu berkaitan pergerakan politik partinya, pada November ini.

Perkara itu disuarakannya selepas beliau menyifatkan corak dan kepimpinan Bersatu masa kini dilihat sedikit ‘tergelincir’ daripada asas perjuangan dan penubuhan awal parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yang mesra dengan panggilan Pak Wan, akur dengan perubahan dalam parti itu yang mengetengahkan dinamik berbeza serta muka baharu ke hadapan, biarpun beliau antara kelompok terawal membina parti itu.

“Ramai orang yang bertanya Pak Wan sepatutnya orang yang membawa arus kebangkitan, perjuangan tapi saya tak boleh laungkan itu lagi, sebab saya sebutkan Bersatu telah berubah wajah.

“Ramai yang bertanya kenapa orang yang masuk Bersatu kemudiannya ke depan, saya tak tahu, ‘the dynamic of Bersatu could be different’…saya tak tahu, sebab saya pun tak terlibat dalam menguruskan pilihan raya negeri (PRN) Melaka,” katanya dalam temu bual menurut laporan Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau mendakwa tidak pernah dipanggil dalam menguruskan kepimpinan bersama di peringkat negeri.

“Hari ini ada kepimpinan baharu, apabila saya serahkan pimpinan kepada Mohd Rafiq Naizamohideen di mana keahlian ketika itu 16,000 orang.

“Selepas itu, saya tak tahu, saya tak terlibat dengan pengurusan, saya pun tidak dipanggil walaupun saya Ex-Offisio di Bahagian Alor Gajah dan Bendahari Alor Gajah, saya tidak melibatkan diri,” katanya.

Ketika ditanya, adakah beliau berkecil hati dengan ‘layanan’ terbabit, raut wajahnya sedikit berubah.

“Saya nak terasa hati, tak terasa hati itu bohonglah kan, tapi kita kena reda dengan apa yang berlaku hari ini. Banyak yang bertanya Pak Wan kena perjuangkan, tapi saya tak boleh laungkan itu sebab saya sebutkan Bersatu telah berubah wajah.

“Kalau perlu saya masuk dalam kelompok untuk memperjuangkan perjuangan kita, saya tak lari dari konsistensi saya, saya tetap perjuangkan perjuangan asal Bersatu.

“Macam saya sendiri berfikir ke mana Bersatu ini nak pergi sebab kepala saya (masih mengatakan) Bersatu dahulu adalah bersama Tun M (Dr Mahathir Mohamad), Muhyiddin (Muhyiddin Yassin) dan Mukhriz (Mukhriz Mahathir),” katanya.

Sementara itu, terdapat desas-desus mengatakan beliau akan beralih ke parti lain, namun beliau pantas menafikannya. Bagaimanapun, katanya, akan ada sesuatu yang ingin diumumkan sehari selepas hari penamaan calon PRN Melaka.

“Kita tunggu siri kedua, kalau nak tunggu November ini, saya akan berbaju Melayu, bersamping dengan warna apa yang akan saya umumkan nantilah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.