#PrkDUNChini: Calon Bebas ‘menjerit’ pun suara tak sampai tapi BN ‘bisik’ sahaja selesai – Ahmad Maslan

0
807
Datuk Seri Ahmad Maslan bersama calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain - pakdin.my

Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini diseru memilih Barisan Nasional (BN) kerana sudah terbukti BN mampu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana suara calon BN mempunyai dua kerajaan yang mendokong di belakangnya iaitu kerajaan Negeri Pahang dan kerajaan pusat berbanding suara calon bebas yang tidak berkesan kerana tiada kerajaan di belakangnya.

“Kalau dia (calon bebas) ‘menjerit’ pun suara tidak akan sampai ke mana. Kalau calon BN tak perlu menjerit, bisik sahaja suara rakyat sudah sampai. Itu kelebihan kerajaan BN yang didokong oleh kerajaan Negeri Pahang dan juga kerajaan Perikatan Nasional (PN) di pusat.

“Sebagai contoh apabila saya melihat sendiri di hadapan mata bagaimana kerajaan pusat dan kerajaan negeri membuat bantuan apabila menyelesaikan masalah air ketika musim kemarau dengan mewujudkan pusat tadahan air di sebelah Sungai Mentiga.

“Apabila Menteri Besar Pahang selaku kerajaan negeri bertanyakan kepada pihak yang berkaitan iaitu Felda, kalau hanya sebelas hari takungan air musim kemarau ia tidak akan menyelesaikan masalah air kerana kemarau lebih kurang 20 hari. Masa tu Datuk Seri Najib, Pengerusi Felda dan Menteri Besar pun ada. Jadi Pengerusi Felda mewakili kerajaan pusat, kerajaan negeri diwakili Menteri Besar Pahang bersetuju menambah lagi RM10 juta peruntukan daripada RM18 juta yang ada,” kata Ahli Parlimen Pontian itu kepada UMNO Online.

Dengan lain perkataan jelasnya, hanya dengan satu soalan dan satu jawapan masalah rakyat boleh diselesaikan dengan cepat dan mudah apabila melibatkan dua kerajaan yang sama mentadbir.

“Ini satu contoh yang amat jelas. Ia tidak akan berlaku di bawah calon bebas yang tidak ada mana-mana kerajaan di belakangnya,” tegasnya lagi.

Faktor lain calon BN, Mohd Sharim Md Zain harus diberi peluang kerana beliau mewarisi generasi Felda di mana Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, bekas ADUN Chini juga berasal dari peneroka Felda, jelas Ahmad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Maslan.

“Satu lagi kelebihan calon kita ialah kerana ia mewakili generasi Felda. Sebelum ini sudah tiga penggal oleh peneroka Felda. Sekarang ini tiba giliran generasi kedua Felda mengambil alih.

“Dan kita tahu daripada 20,990 pengundi di DUN Chini, 82 peratus adalah warga Felda. Dengan tepatnya kita memilih anak peneroka untuk menjadi calon di dalam pilihan raya ini,” ujarnya.

Begitu juga tambahnya Mohd Sharim seorang anak muda yang mempunyai tenaga yang masih kental, visi yang cukup jelas dan berhasrat tinggi mengangkat suara generasi muda.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan. – UMNO ONLINE

https://huluselangor.com/tag/prk-dun-chini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.