Premis ‘Kebal’ Ceroboh Tanah

KUALA LUMPUR – “Mana lebih penting, projek pelebaran jalan untuk atasi masalah kesesakan lalu-lintas atau biarkan premis haram terus beroperasi di atas rizab jalan sehingga mengganggu keselesaan penduduk serta pengguna jalan raya di Selayang Baru di sini?”

Itulah persoalan yang dilontarkan oleh beberapa persatuan penduduk dan pengguna di kawasan Selayang Baru berikutan tiada tindakan yang diambil terhadap beberapa premis perniagaan yang dibina secara haram di atas tanah rizab jalan yang bersempadan dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan walaupun banyak kali aduan telah dibuat.

Kedegilan pemilik untuk merobohkan premis haram mereka walaupun telah mendapat surat arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengundang tanda tanya, apakah mereka terlalu kebal daripada penguatkuasaan undang-undang?

Lebih dikesalkan adalah kedegilan pemilik premis haram itu menyebabkan projek pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong di kawasan berkenaan telah tertangguh sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk terutama pada waktu puncak.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Selayang Makmur, Roger Arvind, 46, berkata, mereka kesal kerana sehingga kini masih tiada tindakan diambil oleh PBT terhadap premis perniagaan haram berkenaan walaupun dibina di atas tanah rizab jalan.

Menurutnya, premis berusia kira-kira 10 tahun itu dipercayai dibina tanpa mendapat kelulusan tetapi mendapat Lesen Menduduki Sementara (LMS) selepas siap dibina sedangkan premis tersebut dibina tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Premis itu juga dibina tanpa waste water treatment yang menyebabkan masalah takungan air sehingga menimbulkan bau busuk, tidak mendapat CF (Certificate of Fitness) dan tidak menyediakan tempat letak kenderaan.

“Siapa yang bertanggungjawab beri kebenaran dan kelulusan kepada premis haram tersebut? Jika dibina tanpa mendapat kebenaran dan kelulusan, kenapa sampai sekarang masih tidak dirobohkan? Apakah mereka ini terlalu ‘kebal,’” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Kelulusan pembinaan tokong milik sebuah pertubuhan baru-baru ini turut diragui dan seolah-olah cuba memaksa kerajaan mengecilkan jajaran kelebaran laluan dalam projek pelebaran Jalan Selayang Baru yang hendak dilaksanakan DBKL.

Arvind berkata, pihaknya percaya wujud elemen ‘kautim’ menyebabkan tiada tindakan dibuat terhadap pemilik premis bangu-nan haram tersebut.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap perkara itu.

“Kami difahamkam premis-premis berkenaan pernah mendapat arahan roboh tetapi yang peliknya masih tidak dirobohkan sehingga sekarang.

“SPRM kena siasat bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Mungkinkah berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana premis perniagaan haram itu tidak menyediakan tempat letak kenderaan, keadaan itu menyebabkan pengunjung atau pengguna terpaksa meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan yang menjadi punca kesesakan lalu-lintas di kawasan berkenaan kerana laluan menjadi sempit.

“Isu kesesakan lalu-lintas di kawasan ini hanya boleh diselesaikan sekiranya projek pelebaran jalan dengan kos sebanyak RM30 juta dapat dijalankan.

“Masalahnya, projek sukar untuk dilaksanakan selagi premis perniagaan itu tidak dirobohkan. Jangan korbankan kepentingan rakyat hanya kerana sikap tamak segelintir individu,” katanya.

Arvind berkata, lebih merumitkan keadaan apabila sebuah rumah ibadat turut dibina di kawasan berkenaan berkeluasan 10 kali ganda tapak asal yang dipercayai pembinaannya tidak mendapat kebenaran PBT kerana bangunan itu juga terletak di atas tanah rizab jalan.

“Kami yakin rumah ibadat tersebut sengaja didirikan oleh pihak tertentu untuk menyukarkan lagi projek pelebaran jalan dilaksanakan sekali gus ‘menyelamatkan’ premis haram di sepanjang jalan berkenaan daripada dirobohkan.

“Rumah ibadat itu hanya dijadikan sebagai benteng,” katanya.

Justeru katanya, beliau mahu PBT yang berkaitan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat siasatan serta mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk merobohkan bangunan rumah ibadat berkenaan.

“Persatuan penduduk pernah buat permohonan untuk dirikan sebuah surau di tapak sama berukuran 1,400 kaki persegi tetapi tidak diluluskan dengan alasan tanah rizab jalan.

“Peliknya, kenapa rumah ibadat itu dibenarkan pula? Kami akan melaporkan perkara ini kepada SPRM agar siasatan dapat dijalankan,” tegasnya.

Sumber Berita Sinar Harian
3 November 2019