PERIKANAN, JAS SIASAT PUNCA IKAN MATI DI SUNGAI BERNAM

52
380

20161111-ikan-mati-sungai-bernam

HULU BERNAM: Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian ikan di Sungai Bernam dan beberapa sungai kecil di sempadan negeri itu dan Selangor.

Pegawai kedua-dua jabatan itu mengambil sampel air dan ikan yang mati bagi dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Siasatan pegawai Jabatan Perikanan dilakukan semalam, manakala JAS menghantar pegawainya melakukan tugas sama hari ini.

Pegawai Perikanan, Jabatan Perikanan negeri, Nummeran Mohd Nordin, berkata siasatan dan sampel air dan ikan dilakukan di kawasan Sungai Behrang hingga ke Loji Air Selisik di Selangor.

“Kawasan siasatan merangkumi 12 kilometer untuk persampelan air iaitu dari Sungai Selisik.

“Kematian ikan juga masih ada di Sungai Inki di Selangor dan memasuki Sungai Bernam hingga Kuala Slim Perak.

“Jenis ikan yang mati termasuk kelah, lampam, terbol, susu batang, sebarau dan baung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nummeran berkata, sampel ikan dan air dihantar ke makmal Jabatan Kimia di Ipoh untuk analisis parameter keracunan dan pencemaran dan pihaknya masih menjalankan pemantauan susulan untuk mengetahui status dan punca sebenar kes itu.

Pengarah JAS Perak, Abdul Razak Abd Manap yang dihubungi turut mengesahkan menghantar pasukan siasatan selepas menerima maklumat itu.

“Pihak kami juga akan mengambil sampel air untuk dianalisa, namun keputusannya mengambil sedikit masa kerana ia perlu dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Selisik, Ishak Ahmad, berkata pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Muallim serta pihak dari Selangor seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Pemantauan Sungai Selangor turut menyiasat kawasan penternakan, pertanian dan perkilangan di tepi sungai bagi mengesan punca pencemaran.

20161111-ikan-mati-singai-bernam-pencemaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.