KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin melabelkan aktivis perempuan yang mendakwa berlaku 5 kematian melibatkan remaja akibat kesan sampingan vaksin Covid-19 sebagai seorang penipu.
Kenyataan yang mencerminkan kemarahan Menteri Kesihatan itu dibuat melalui kicauan di akaun media sosial Twitter beliau petang tadi.
“Kenyataan Pengerusi CITF-A berkenaan video viral remaja meninggal dunia akibat kesan sampingan selepas menerima vaksin.
“Basically, the woman in the video who was speaking with her mask off flat out lied. (Umumnya, wanita yang bercakap tidak memakai pelitup muka dalam video itu menipu terang-terangan),” katanya.
Khairy membuat kenyataan itu selepas siasatan kementeriannya dan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja mendapati tidak ada sebarang kematian akibat kesan sampingan vaksin Covid-19 di kalangan remaja seperti yang didakwa aktivis berkenaan.
Siasatan mendapati dua pelajar sebuah sekolah yang meninggal dunia di Perak belum pun mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan tiada ada sebarang kematian berlaku di Sabah.
Manakala dua lagi remaja adik beradik di Perak juga disahkan mengalami tindak balas tetapi tidak meninggal dunia, malah salah seorang remaja berkenaan sudah pun pulang ke rumah selepas menerima rawatan. – Mynewshub.TV