Penyanyi popular 90an dicekup miliki dadah

108
0

BEKAS vokalis kumpulan popular 90-an ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di Johor Bahru, malam tadi.

Penyanyi lelaki berusia 41 tahun ditahan bersama seorang lagi rakan lelaki berikutan penemuan satu paket dadah dipercayai jenis syabu.

Penahanan kedua-dua mereka pada 11.30 malam itu dilakukan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan terbabit.

Serbuk putih disyaki dadah itu ditemui dalam dompet penyanyi berkenaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

Penyanyi terbabit sebelum ini pernah menyertai sebuah program hiburan realiti, bahkan pernah ditahan polis sebelum ini berkaitan dadah.

Penyanyi itu juga baru menjayakan konsert reunion bersama ahli kumpulannya, selain konsert seterusnya akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dan Singapura, Oktober ini.