KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih ketat dan kemas susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penugasan penguatkuasaan PDRM akan dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan agensi lain yang relevan.
“Tindakan penguatkuasaan akan lebih ketat dan lebih kemas. Penugasan adalah sama seperti PKP pertama,” katanya dihubungi hari ini.
Semalam, selain pelaksanaan PKP di enam negeri, kerajaan turut mengumumkan yang pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara, manakala pergerakan rentas daerah juga dilarang bagi kawasan PKP.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam 13 Januari 2021.
“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad dalam 10 kilometer radius sahaja,” katanya pada Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan di televisyen semalam. – myMetro Online