Pemulihan Industri Halal Agenda Penting PPN – PM

0
82

KUALA LUMPUR – Malaysia komited memulihkan semula industri halal negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19, dengan turut menjadikannya agenda penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana industri halal adalah pemangkin kepada ketahanan ekonomi pasca COVID-19, bukan saja kepada Malaysia tetapi juga negara Muslim secara keseluruhan.

Malah, Perdana Menteri berkata, Malaysia berhasrat dikenali sebagai pusat kecemerlangan terkemuka bagi sektor profesional dan latihan halal pada peringkat global, dalam membangunkan industri itu berasaskan pengetahuan.

“Ekonomi halal Malaysia juga tidak terlepas daripada kesan pandemik, namun negara beransur-ansur pulih dengan komited melaksanakan PPN bawah semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang mana industri halal adalah ciri utama dalam pelan itu. Tekad Malaysia ialah menjadikan industri halal unggul.

“Kita akan beransur-ansur membuka semula ekonomi secara selamat dan tersusun. PPN memfokus kepada empat fasa dengan sasaran untuk membuka semula ekonomi menjelang hujung tahun ini.

“PPN adalah pelan dinamik yang akan sentiasa dikemas kini dan ditambah baik berdasarkan data serta bukti saintifik bagi kejayaan strategik, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri halal untuk kelestarian sosioekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) dan Platform Bersepadu Halal (HIP), hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri pada WHBC bertema ‘Halal – Pemangkin untuk Pemulihan Ekonomi Sejagat’ itu dibacakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan, Industri dan Persaingan Afrika Selatan, Ebrahim Patel.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Malaysia berada di landasan betul ke arah menjadi pusat kecemerlangan peringkat global melalui Halal Development Corporation Bhd (HDC).

Katanya, HDC telah melatih lebih 60,000 individu di dalam dan luar negara, membabitkan Program Eksekutif Halal serta Program Pengauditan Dalaman Halal sejak 2007.

Beliau berkata, lebih 250,000 individu pula sudah dilatih secara kolektif oleh HDC yang ditanggungjawabkan untuk menerajui pembangunan industri halal nasional bersama pihak lain.

“HDC juga membangunkan rangka kerja bawah Pelan Induk Industri Halal 2030 untuk pembangunan industri halal negara bagi 10 tahun akan datang, termasuk melalui HIP yang membantu usahawan meneroka potensi peluang perniagaan baharu untuk mendapatkan akses pasaran domestik dan antarabangsa.

“Platform ini akan bertindak sebagai jambatan antara usahawan dan pihak berkepentingan industri, dengan menggabungkan mereka bawah ekosistem halal tunggal bersama fokus kepada PKS,” katanya.

Perdana Menteri berkata, terdapat peluang besar dalam industri halal, bukan saja dalam aspek perniagaan tetapi juga memenuhi kecukupan sesebuah negara.

Berdasarkan data halal HDC, katanya, tiga produk eksport halal tertinggi Malaysia adalah membabitkan segmen makanan dan minuman, bahan mentah serta komestik dan penjagaan peribadi.

Beliau turut meminta pihak berkepentingan halal global supaya bekerjasama dan bertekad bersama untuk meningkatkan perdagangan antarabangsa serta hubungan pelaburan melalui platform global seperti WHBC, bagi pembangunan pasaran baharu industri itu.

Selain itu, katanya, penggunaan piawaian halal harus dilihat sebagai syor nilai tambah dan bukannya halangan perdagangan, bagi mereka yang menceburi sumber pertumbuhan ekonomi baharu melalui industri halal.

Beliau menjelaskan, industri halal adalah bahagian penting dalam ekonomi global, namun turut terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Laporan Ekonomi Negara Global 2020/2021, katanya, perbelanjaan di seluruh dunia membabitkan Muslim, menurun lapan peratus dalam pelbagai sektor di ekonomi Islam pada 2020.

“Dari perspektif ekonomi, saiz pasaran industri halal global diunjurkan bernilai AS$5 trilion (RM20 trilion) pada 2030 daripada nilai pasaran semasa sebanyak AS$3.1 trilion (RM12.8 trilion), dengan mengambil kira pengguna bukan Islam beralih kepada penggunaan produk halal.

“Industri makanan dan minuman halal saja bernilai AS$2.1 trilion (RM8.7 trilion), sementara industri kosmetik dan farmasi halal secara kolektif bernilai AS$136 bilion (RM564 bilion),” katanya. – BH Online