Saya faham mengapa pihak Kerajaan dan YAB Perdana Menteri terlalu cepat untuk mengkategorikan kes rusuhan di Seafield bulan lepas yang telah mengakibatkan kematian anggota bomba arwah Adib sebagai bukan kes perkauman.
Ini berkemungkinan besar dilakukan atas sebab-sebab keselamatan awam dan untuk meredakan keadaan supaya ianya tidak menjadi lebih teruk yang boleh menyebabkan rusuhan kaum merebak ke seluruh negara pada ketika itu.
Dan ianya mungkin juga untuk kestabilan politik Kerajaan yang memerintah.
Saya pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan (JUSA B) dan telah berkhidmat dengan Kerajaan selama banyak tahun sebelum ini, oleh itu saya amat faham sekiranya Kerajaan mengambil tindakan sedemikian pada ketika itu.
Pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan baik untuk mengawal keadaan selepas rusuhan untuk memastikan ianya tidak merebak menjadi lebih besar.
Walaubagaimanapun, jika dilihat daripada komen-komen di media sosial berkenaan isu ini yang mengandungi banyak unsur-unsur perkauman, secara terang-terangan dapat disimpulkan bahawa rakyat rata-rata tidak percaya kepada kenyataan Kerajaan yang berkali-kali menyatakan bahawa kes rusuhan tersebut tidak ada kena mengena dengan isu perkauman.
Untuk memastikan insiden ini tidak berulang, apabila keadaan sudah reda, kita perlu menyuluh kepada kebenaran dan mencari punca sebenar mengapa insiden ini berlaku walaupun kita terpaksa melayari isu perkauman yang sensitif ini yang kebanyakan ahli politik tidak mahu sentuh langsung atau was-was dari membincangnya kerana tidak mahu terbakar jari.
Namun isu ini adalah amat penting dan melangkau politik. Isu ini adalah kritikal dalam menentukan jatuh bangunnya Negara ini, oleh itu ianya perlu dibincangkan dengan serius dan bukan disorok di bawah karpet sehingga bernanah.
Sebab jika pembunuhan arwah Adib tersebut adalah satu jenayah perkauman atau ‘hate crime’, dan arwah Adib dibunuh oleh sebab warna kulit, agama atau bangsa beliau, maka kita perlu membuka mata dan mencari penyelesaian dengan lebih serius ke atas masalah hubungan kaum di negara ini.
Ada yang bertanya satu persoalan kritikal: Adakah mungkin arwah Adib tidak akan dibelasah di tempat kejadian semasa insiden rusuhan itu berlaku sekiranya beliau bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam?
Jika jawapan kepada persoalan di atas adalah ya, maka kebarangkaliannya ialah pembunuhan beliau adalah satu jenayah perkauman atau ‘hate crime’ dan bukan seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan sebelum ini. Ini perlu disiasat selanjutnya oleh Kerajaan.
Sebab sekiranya ianya adalah satu isu perkauman dan kita mengakuinya, maka kita berada di langkah pertama ke arah tindakan pembetulan, dan perbincangan yang bertamadun boleh dilakukan antara pihak-pihak yang berkenaan di peringkat Kerajaan dan bukan kerajaan apabila keadaan semakin reda.
Namun jika kita terus menafikannya walaupun ianya betul isu perkauman, maka paradoksnya keadaan akan menjadi lebih teruk seperti yang kita lihat sekarang kerana banyak pihak-pihak yang berkaitan di kerajaan dan bukan kerajaan yang mampu membuat perubahan dalam hal hubungan kaum ini tidak akan berbuat apa-apa.
Ini menyebabkan retorik perkauman akan lebih menjadi-jadi di kalangan rakyat terutamanya di media sosial.
Zaman sekarang tidak sama dengan zaman 20-30 tahun dahulu di mana dahulu kerajaan boleh mengawal semua media.
Zaman media sosial kini, lagi kerajaan menafikan atau cuba menyorok sesuatu perkara, lagi isu itu menjadi panas kerana tiada tindakan pembetulan dilakukan.
Oleh itu dalam hal ini Kerajaan perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan mengenalpasti sekiranya jenayah pembunuhan arwah Adib tersebut adalah satu jenayah perkauman (‘hate crime’) atau tidak dan bukannya terus membuat tanggapan secara ringkasan (‘summarily’) yang ianya tidak ada kena mengena dengan isu perkauman.
Dan yang lebih penting, kita tidak boleh hanya memejam sebelah mata dan terus menipu diri kita sendiri untuk penyelesaian jangka pendek yang menyebabkan kita alpa untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan berkekalan untuk masalah sekritikal ini.
https://youtu.be/tXDTIHrBlhU
#Justice4Adib
https://huluselangor.com/?s=Muhammad+Adib
Rujukan:
https://huluselangor.com/tag/wytha-moorthy
https://huluselangor.com/tag/v-ganabatirau
https://huluselangor.com/tag/muhammad-adib
https://huluselangor.com/tag/kuil-seafield