Pemandu maut kereta jatuh gaung langgar babi hutan

0
474

KOTA TINGGI: Akibat melanggar babi hutan melintas jalan, seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kilometer 34, Jalan Lok Heng-Mawai di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Suhaimi Bahudin, 60, tercampak keluar dari Perodua Alza dipandunya yang terjatuh ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Felda Aping Barat menghala ke Mawai gagal mengawal kenderaan yang dipandu selepas terlanggar babi hutan melintas jalan.

“Kereta dipandu mangsa kemudian terbabas ke dalam gaung,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.57 pagi dan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, Perodua Alza dipandu mangsa terbabas ke dalam dalam gaung kedalaman 10 meter manakala pemandu tercampak keluar dari kereta.

“Anggota operasi mengangkat dan membawa mangsa naik ke tempat lebih selamat. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.