Pekerja kebun, restoran dicekup Imigresen

99
0

Kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diupah bekerja sebagai pekerja kebun, restoran dan perumahan dibongkar dalam serbuan di sekitar Rawang dan Batang Kali, Hulu Selangor di sini semalam.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi bermula jam 4 petang itu berjaya menahan 44 PATI termasuk dua kanak-kanak lelaki hasil pemeriksaan 52 warga asing.

Menurutnya, operasi yang disertai 15 pegawai dan anggota itu menyasarkan kawasan kebun sayur, kedai runcit, restoran dan kediaman.

“Anggota kami terpaksa bersembunyi di dalam lori yang membawa muatan sayur yang ditahan terlebih dahulu di pintu masuk ke kawasan tersebut.

“Setibanya di kebun tersebut, pegawai operasi terus menggempur pekerja warga asing yang berada di situ walaupun terdapat segelintir daripadanya cuba melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata, pecahan tangkapan tersebut terdiri daripada seorang warga Vietnam, Thailand (9), India (14), Pakistan (7) dan Indonesia (11).