#PAU2019: Peringatan Presiden untuk ahli siapsiaga

Ahli dan pemimpin akar umbi perlu menghayati ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana ia penting untuk mereka memainkan peranan memantapkan parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang diperkatakan oleh Ahmad Zahid adalah suatu penekanan kepada ahli dan pemimpin memperkasakan jentera parti untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kata beliau, parti ketika ini berhadapan dengan suasana politik yang tidak menentu dan perlunya jentera di peringkat akar umbi

“Parti berhadapan dengan keadaan politik tidak menentu ketika ini, jadi Presiden menekankan kepada seluruh ahli supaya mempersiapkan diri dan jentera bagi menghadapi PRU mahupun PRK.

“Ini penting kerana kita mahu melihat kesiapsiagaan di semua peringkat berada di tahap yang baik,” katanya mengulas ucapan Dasar Presiden sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Jelas Mohamad, parti tidak tahu apa yang akan berlaku dalam suasana politik tanah air yang tidak baik masa kini dan terlalu sukar untuk menjangkakannya.

Sebab itu, kata beliau, Presiden mengambil pendekatan memberi nasihat dan penekanan agar memperkemaskan jentera di peringkat Pusat Dalam Mengundi (PDM), bahagian dan negeri masing-masing.

Katanya, kepimpinan di peringkat Muafakat Nasional juga akan mengurangkan karenah bagi berhadapan dengan PRU nanti.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Ahmad Zahid telah memberi ingatan mengenai naratif baharu untuk kepimpinan UMNO di semua peringkat.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga memberi peringatan kepada kepimpinan akar umbi agar mempunyai daya tahan yang kuat sepanjang menjadi pembangkang.

“Ahli harus ada ketahanan diri, memiliki daya tahan yang kuat dan sanggup berkorban dalam apa jua situasi.

“Selain itu, mereka di peringkat cawangan dan bahagian mesti mempunyai kesanggupan untuk berjuang dalam apa keadaaan yang mereka hadapi serta boleh berkorban dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menjelaskan, UMNO, Pas dan Barisan Nasional (BN) telah bergabung membina identiti Muafakat Nasional yang baik bagi menghadapi PRK, selain menawarkan kepada rakan di Sabah dan Sarawak untuk membina kekuatan bersama.

[Video] UCAPAN DASAR PRESIDEN YB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
https://huluselangor.com/video-ucapan-dasar-presiden-yb-dato-seri-dr-ahmad-zahid-hamidi/