PAS dan Perikatan Nasional gagal bela Islam, jangan jadi kerajaan ‘Ruwaibidhah’

0
236
pas-dan-perikatan-nasional-gagal-bela-islam,-jangan-jadi-kerajaan-‘ruwaibidhah’

1. Melihat kepada situasi kerajaan Perikatan Nasional hari ini, sudah sama dan saling tidak tumpah seperti Pakatan Harapan, asyik memberi alasan negara tidak cukup wang dan meminta rakyat pula yang berjimat, tetapi dalam masa yang sama rakus meninggikan hutang negara dan martabat Islam tidakpun terbela.

2. Jika dahulu rakyat marah dan menolak Pakatan Harapan atas isu yang sama apatah lagi apabila wujud DAP dan Ahli Parlimen bukan Melayu dan Islam di dalamnya maka tentu mereka mencorak negara mengikut cara yang mereka impikan selama ini.

3. Tetapi rakyat tidak boleh faham kenapa kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini yang majoritinya Islam malah turut dianggotai oleh PAS yang memperjuangkan Islam, tetapi kenapa masih mengamalkan acuan yang sama seperti Pakatan Harapan?

4. Ini yang membuatkan rakyat lebih marah dan tidak berpuas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional, bukankah ramai pemimpin-pemimpin Islam termasuk bertaraf ulama dan mufti di dalamnya namun masih tidak mengendahkan Islam dan umatnya. Lebih malang, umat Islam di negara ini tidak terasapun Islam memimpin ketika ini.

5. Di manakah perjuangan Islam yang gegak gempita dilaungkan selama ini? Jangan asyik dengan retorik basi mengajak selamatkan negara, membina perpaduan ummah, Islam memimpin dan demi Islam berintegriti kononnya, jika ia hanya sekadar slogan dan laungan tidak bermakna kerana tidak mampu dizahirkan melalui perbuatan ataupun tindakan.

6. Jangan ingat rakyat bodoh dengan alasan-alasan dan dalil-dalil yang pelbagai termasuk alasan data dan sains jika sudah lebih setahun Perikatan Nasional memerintah tetapi isu-isu terkait umat Islam seperti Tabung Haji dan arwah Adib, masih tidak mampu dipulihkan dan dibela – jangan haraplah isu-isu lain akan terbela sama.

7. Malah jika lompat partipun sanggup ‘dihalalkan’ sebelum ini, sedangkan wujud tiga sifat munafik di dalamnya iaitu berdusta apabila berkata-kata, mungkir apabila berjanji dan khianat apabila diberi amanah, maka apa lagi yang rakyat boleh harapkan daripada perjuangan Islam, jika bukan hanya sekadar slogan sedap didengar seperti Islam memimpin dan Islam berintegriti?

8. Kenapakah juga PAS dan Perikatan Nasional terlihat takut-takut untuk melaksanakan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) seolah-olah ingin menyembunyikan sesuatu? Rakyat bukan meminta hududpun, tetapi mahu setidak-tidaknya keadilan ditegakkan secara berperingkat. Bukankah Islam ini adil tetapi kenapa keadilan tidak mahu ditegakkan?

9. Janganlah pula beri alasan seperti budak kecil yang masih tidak ada akal dengan kenyataan “sudah bisik-bisik” kepada pihak kerajaan. Ini kerana secara tidak langsung hanya membuka pekung PAS dan membuktikan kegagalan mereka menasihati Perikatan Nasional selain semakin terkekang apabila sudah menjadi kerajaan. Yang mampu kini hanyalah bisik-bisik serta tidak lagi berani ke depan untuk membela umat Islam.

10. Bukan sahaja PAS malah mana-mana parti yang bersama kerajaan ketika ini termasuk UMNO tentu juga terpalit sama tidak kira apapun alasan dan dalil diberi, justeru bagi yang berakal, eloklah jarakkan diri selagi masih ada kesempatan.

11. Ingatlah, anda semua akan dipertanggungjawabkan di depan Allah SWT kelak, tidak kira bawa perjuangan Islam, nasionalis, sekular, cauvinis, hatta komunis sekalipun, malah jika asyik menggunakan retorika Islam dan berslogan Islam tetapi tidakpun dilaksanakan, ini semua tidak bererti dan lagi memalukan.

12. Sebagai peringatan; Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara.” Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?” Nabi menjawab, “Orang bodoh yang menguruskan urusan umum.” (HR Ibnu Majah).

13. Imam Ibnu Majah meletakkan hadis ini di dalam Kitab al-Fitan (Fitnah) dan mewujudkan bab khusus, iaitu Zaman yang Dahsyat (Syiddah al-Zaman) – begitulah dahsyatnya di zaman tipu daya dan fitnah ini, dikhuatiri amanah dan tanggungjawab diserahkan kepada pengkhianat sebaliknya mereka yang amanah pula dikhianati, seperti yang kita sendiri dapat melihatnya pada hari ini.

14. Justeru janganlah pemerintah bersikap seperti Ruwaibidhah dan mensia-siakan amanah yang diberi kerana Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkankannya lama dahulu.

15. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu datangnya kiamat.” Lalu ada bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?” Maka, Baginda menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR Bukhari)

Wallahualam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.