Paras Sungai Golok naik mendadak

0
328
Paras Sungai Golok naik mendadak

RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok terus menunjukkan peningkatan dengan bacaan 9.81 meter setakat jam 9 malam, hari ini, sekali gus melepasi paras tertinggi gelombang pertama yang berlaku hujung November lalu iaitu 9.6 meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, jika paras air sungai berkenaan terus menunjukkan trend menaik, besar kemungkinan ia boleh mencecah kepada bacaan 10 meter pada awal pagi esok.

Katanya, keadaan terbabit berlaku apabila taburan hujan terus bertambah selain aliran air dari hulu sungai ke kawasan itu, malah sungai di Kampung Jenob, Tanah Merah juga menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 23.6 meter.

“Banjir gelombang kedua ini berkemungkinan lebih besar berbanding sebelumnya, melihat kepada peningkatan air sungai yang naik dengan lebih cepat berbanding sebelumnya selain taburan hujan yang tinggi bukan saja sekitar Rantau Panjang, malah di bahagian hulu sungai di Tanah Merah dan Jeli.

“Beberapa pangkalan haram di sini sudah mulai dinaiki air akibat sungai yang melimpah keluar seperti di pangkalan haram Gergaji, Paung, Pohon Jambu dan Pos Ibrahim, menandakan air sungai di paras bahaya dengan aliran yang deras.

“Seperti biasa, bila paras sungai mencatat bacaan lebih sembilan meter, beberapa penempatan di kawasan rendah menerima banjir lebih awal iaitu bermula semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, sebanyak dua sungai di negeri ini melepasi bacaan paras amaran iaitu di Kampung Manik Urai, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 25.01 meter dan 14.91 meter.

Manakala, lima lagi sungai menunjukkan bacaan melebihi tahap berwaspada iaitu Sungai Nal serta Sungai Dabong di Kuala Krai, Sungai Kusial Baru, Tanah Merah serta Sungai Limau Kasturi, Gua Musang dan Sungai Pergau di Air Bol, Jeli.

Imran berkata, penduduk perlu lebih peka dengan banjir gelombang kedua bukan saja daripada segi keselamatan diri tetapi juga kesihatan memandangkan Covid-19 belum berakhir.

“Bagaimanapun, kita berharap agar banjir kali ini terkawal tanpa berlaku sebarang perkara atau insiden yang tidak diingini bukan sdi Kelantan malah negeri lain yang berhadapan dengan fenomena sama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.