Home Blog Page 3

[VIDEO] Pelanggan tenang makan ramen ketika restoran terbakar

0

TOKYO – Pengunjung sebuah restoran di Shinjuku, Tokyo sempat menjamah mi ramen dengan tenang meskipun kebakaran berlaku di kedai makan tersebut sehingga menyebabkan asap tebal, lapor akhbar Metro UK.

Insiden itu dirakam oleh seorang pengunjung yang memaparkan api kebakaran menjulang naik ke siling dan asap tebal memenuhi ruang makan.

Namun, pengunjung tetap santai dan tenang apabila mereka dilihat terus berada di tempat duduk masing-masing dan menghirup makanan.

“Terdapat 15 pelanggan di restoran tersebut dan mereka semua tidak berganjak dari tempat duduk. Mereka terus menikmati makanan meskipun telah berlakunya kebakaran,” katanya.

Seorang pelanggan memberitahu media tempatan bahawa dia datang ke kedai makan tersebut dari Nagano yang terletak 160-kilometer di barat laut Tokyo, hanya semata-mata untuk mencuba mi ramen di situ.

“Saya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasa mi ramen yang sangat sedap ini,” katanya.

Kakitangan restoran itu pada mulanya tidak membunyikan penggera amaran kebakaran, dan mereka hanya melakukannya apabila api semakin marak.

Sementara itu, polis memaklumkan bahawa tiada sesiapa yang mengalami sebarang kecederaan dalam kebakaran tersebut.

Pegawai bomba berkata, punca kebakaran masih belum diketahui dan sedang disiasat pihak berkuasa.

BACA juga:

[VIDEO] Timbalan pengarah, pihak berkuasa dan penguatkuasa PBT ditahan terima rasuah lindungi rumah urut

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) empat individu termasuk tiga penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Menurut number, tiga suspek iaitu timbalan pengarah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anggota agensi penguat kuasa itu direman selama tujuh hari sehingga 14 Jun ini.

Seorang lagi suspek yang merupakan bekas anggota agensi penguat kuasa pula direman lima hari sehingga 12 Jun ini.

Permohonan reman ke atas empat suspek berusia 30 hingga 40-an itu dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

“Suspek utama yang merupakan Timbalan Pengarah PBT dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu daripada premis-premis yang menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan selain premis tanpa lesen sah.

“Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

Menurut sumber itu, menerusi tangkapan ini, SPRM menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

“Kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dalam operasi yang diadakan semalam,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

BACA juga:

[VIDEO] Polis giat buru individu terlibat kes samun bersenjata di Tanjong Malim

TANJONG MALIM – Polis sedang mengesan beberapa individu disyaki terlibat dalam siri kejadian samun bersenjatakan parang di kawasan perumahan di Tanjong Malim sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata setakat ini, terdapat enam kes kejadian samun menyasarkan barang kemas dan wang tunai melibatkan kerugian berjumlah RM152,000.

“Kejadian terbaharu berlaku pada Selasa lepas di Taman Wangsa Jaya melibatkan kerugian hampir RM32,000,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan sijil penghargaan kepada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim dan orang awam hari ini 6 Jun 2024.

Pada majlis itu penyelia ladang Abdullah Abdul Talib yang menyelamatkan juruterbang dan penumpang sebuah pesawat ringan terhempas di Ladang Besout 2 Tambahan pada Mei lepas merupakan antara penerima sijil penghargaan.

Sementara itu mengenai kadar indeks jenayah di daerah berkenaan, Mohd Hasni berkata sebanyak 32 kes jenayah dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 4 Jun lalu berbanding 29 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata ia melibatkan 10 kes jenayah kekerasan dan 22 jenayah harta benda.

Dalam pada itu Mohd Hasni berkata pihaknya meningkatkan tahap keselamatan di semua balai polis di daerah berkenaan termasuk menutup pagar balai pada 10 malam dan memasang lampu pengesan pergerakan susulan kejadian serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota polis, Mei lepas.

BBACA juga:

Polis akan mohon sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan

Polis akan memohon sambungan reman ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu, esok 7 Jun 2024.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya akan membuat permohonan itu berikutan tempoh reman pasangan berkenaan tamat pada Jumaat.

Ibu bapa kanak-kanak itu direman tujuh hari bermula 1 Jun hingga esok 7 Jun 2024 bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

BACA juga:

[VIDEO] FBM KLCI lepasi paras 1,620 mata, cermin prestasi kukuh bursa dipacu penunjuk ekonomi positif

0

LONJAKAN FBM KLCI Bursa Malaysia yang melepasi paras rintangan penting 1,620 mata pada 20 Mei lepas mencerminkan prestasi kukuh bursa tempatan itu yang dipacu oleh gabungan penunjuk ekonomi dan sentimen pelabur yang positif.

Sebelum ini Bursa Malaysia melepasi paras 1,600 mata buat pertama kali dalam tempoh dua tahun pada 7 Mei, dengan permodalan pasaran ekuiti mencatatkan rekod baharu lebih daripada RM2 trilion.

Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata momentum meningkat indeks utama itu disokong oleh beberapa faktor seperti ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan kukuh 4.2 peratus pada suku pertama 2024, menandakan asas ekonomi yang bertambah baik.

Beliau berkata pertumbuhan ini menyediakan prospek yang baik untuk menyokong sasaran kerajaan mencapai pertumbuhan antara empat dan lima peratus tahun depan.

“Penyumbang utama kepada prestasi ekonomi ini adalah impak positif perjanjian perdagangan bebas (FTA), yang membantu melonjakkan perdagangan negara,” katanya kepada Bernama.

Pada Suku Pertama 2024, jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 7.1 peratus tahun ke tahun kepada RM690.59 bilion, dengan negara mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM34.22 bilion semasa suku tersebut.

PEMBELI ASING KEMBALI SEMULA KE PASARAN TEMPATAN

Kemasukan semula dana asing yang besar juga dilihat di pasaran tempatan dengan pelabur asing membuat pembelian bersih berjumlah RM2.73 bilion pada Mei.

“Kemasukan modal ini menjadi pemacu penting prestasi FBM KLCI, membantu melonjakkan indeks utama melepasi paras 1,620 mata,” kata Leong.

Beliau berkata satu lagi faktor yang menyumbang kepada sentimen positif di FBM KLCI adalah kemasukan syarikat gergasi utiliti ke dalam senarai konstituen indeks.

Menurutnya, penambahan ini telah menarik minat banyak pelabur, didorong oleh jangkaan prestasi kewangan yang lebih baik berikutan pengembangan pesat pasaran pusat data Malaysia.

“Para pelabur aktif membeli saham syarikat utiliti ini yang sekali gus melonjakkan lagi indeks utama,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi Geoffrey Williams yang turut senada dengan Leong berkata pemulihan prestasi Bursa Malaysia ketika ini sejak pertengahan 2023 adalah disebabkan terutamanya aktiviti membeli saham berharga rendah dan menggantikan pembeli asing dengan pembeli tempatan.

Pada minggu-minggu kebelakangan ini sejak Februari, penghantaran pulang ekuiti syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan kembali ke dalam syarikat tersenarai Bursa Malaysia, dan ini telah melonjakkan nilai mereka.

DANA ASING, PELABURAN LONJAK PASARAN EKUITI MALAYSIA

Pada masa depan, kemasukan dana asing dan pelaburan besar-besaran dari negara seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka terus menyokong dan melonjakkan pasaran ekuiti Malaysia.

Leong berpandangan pengukuhan perjanjian perdagangan dengan negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, dan UAE dijangka memberi manfaat kepada pasaran ekuiti Malaysia.

“Langkah itu sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk membina ekosistem kewangan Islam yang kukuh,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kesan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan langkah ekonomi yang diumumkan pihak berkuasa China ke atas momentum kenaikan kukuh berterusan di Bursa Malaysia, Leong berkata memandangkan Rizab Persekutuan AS mungkin mengurangkan kadar faedah pada 2024, pelabur menjangkakan potensi pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, dan ini juga sebahagiannya didorong oleh dana asing yang mengalihkan perhatian kepada pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.

Beliau berkata beberapa dasar ekonomi utama yang telah ditetapkan pihak berkuasa China mungkin tidak membawa sebarang impak besar ke atas ekuiti Malaysia memandangkan langkah itu dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi China.

“Contohnya, kerajaan China menjanjikan US$42 bilion (RM197.30 bilion) untuk menyokong syarikat milik kerajaan bagi pembelian pangsapuri tidak terjual di China.

“Kami berpandangan tindakan itu hanya akan menyokong pemaju China memandangkan terdapat pendedahan yang sangat minimum dari segi pemaju hartanah Malaysia dalam pasaran hartanah China,” jelasnya.

BACA juga:

[VIDEO] Terbuka Indonesia 2024: Jun Hao singkir pemain no 3 dunia, Jonatan Christie

0

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus melakar kejutan apabila mengetepikan cabaran pemain ranking ketiga dunia dari Indonesia Jonatan Christie pada pusingan pertama Terbuka Indonesia 2024 hari ini 5 Jun 2024.

Pemain di ranking ke-32 dunia itu bagaimanapun dipaksa bermandi peluh dalam pertarungan 62 minit di Stadium Istora, Senayan di Jakarta dengan meraih kemenangan set pertama 21-13 sebelum tewas pada set kedua 16-21 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Di set penentuan, Jun Hao mempamerkan permainan cukup baik dengan mengutip satu persatu mata untuk mendahului di depan Christie sebelum menoktahkan kemenangan 21-12 dalam pertemuan kali pertama kedua-dua pemain itu.

Menanti Jun Hao di pusingan kedua antara Chou Tien Chen dan Lin Chun Yi dari Taiwan yang akan bertemu dalam satu lagi aksi pusingan pertama hari ini.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi dua beregu negara iaitu beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan beregu campuran Yap Roy King-Valeree Siow apabila terkandas seawal pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 itu hari ini.

Vivian-Chiew Sien tewas 17-21 dan 18-21 kepada beregu Hong Kong Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam sementara Roy King-Valeree tewas 21-19, 13-21, 18-21 kepada beregu China Jiang Zhenbang-Wei Yaxin.

Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menepati ramalan melangkah ke pusingan kedua apabila menundukkan pasangan Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura dengan keputusan straight set 21-6 dan 21-7.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual bertemu wakil Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang juga mara apabila mengetepikan beregu senegara Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14 dan 21-17.

Satu lagi aksi beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan beregu Algeria, Koceila Julien Mammeri-Tanina Violette Mammeri 21-9 dan 21-15 sekali gus akan bertemu wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Bøje di pusingan kedua.

BACA juga:

[VIDEO] Pyanhabib tiada galang ganti – Rakan

0

PERSADA seni tanah air kehilangan satu lagi permata berharga yang tiada galang gantinya selepas penyair dan pelakon, Mohd Supyan Abdul Rahman atau Pyanhabib, 66, menghembuskan nafas terakhirnya malam 4 Jun 2024.

Menurut penyanyi dan pencipta lagu M. Nasir, Pyanhabib merupakan seniman yang unik, istimewa dan pemergian individu yang digambarkan sebagai seorang setia kawan itu merupakan kehilangan besar buat industri seni negara.

“Tiada orang lagi macam dia… sajak terkenalnya bertajuk ‘Suara’, itulah mencerminkan sikapnya sehingga hari ini,” katanya.​​​​​​

M Nasir berkata, beliau terkilan kerana hasrat untuk melibatkan Pyanhabib dalam konsertnya ‘Dato’ M. N45ir’ yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan, tidak kesampaian.

Sahabat karib yang juga pelakon, pelawak dan kartunis Imuda pula menyifatkan arwah seorang baik hati dan suka mengambil berat dan seniman yang disayangi ramai.

“Saya dengan dia sangat rapat macam abang dan adik, kami kenal dari awal kerjaya lagi. Terkejut dengar berita sebab saya lama tak jumpa dia… masing-masing kurang sihat.

“Banyak kenangan manis susah senang bersama. Di awal kerjaya dulu kami pernah kongsi makan roti canai di Central Market (Pasar Seni) dan sama-sama mengasah bakat menjadi pemain teater yang baik, malah waktu kahwin pun saya jadi pengapit. Saya kahwin dia jadi pengapit, begitulah akrabnya kami,” katanya.

Imuda yang pernah membintangi dua filem bersama arwah turut berkongsi memori kali terakhir berjumpa seniman awal tahun ini dengan menonton semula filem Mat Som lakonan mereka, juga dianggapnya sebagai memori yang akan dikenang sepanjang hayat.

Vokalis kumpulan legenda Blues Gang, Ito Mohd turut berkongsi kesedihan atas pemergian Pyanhabib yang dianggapnya sebagai seorang seniman berbakat besar dan istimewa.

“Arwah sepatutnya bersama dengan kami lusa untuk acara Kopi, Lagu dan Puisi di Bukit Malawati, Kuala Selangor, tapi dia telah pergi dulu,” katanya yang kali terakhir berbual dengan arwah sebelum Syawal lepas.

Turut terkesan Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said yang berasa kehilangan sahabat sejak awal pembabitan dalam dunia kesusasteraan.

“Saya harap dia dikenang selalu. Memang ada acara sastera berlanjutan jadi saya harap sangat dalam acara sedemikian dia akan diingati,” katanya yang juga menghargai sumbangan dalam bidang berkenaan.

Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang malam tadi akibat sakit tua dan meninggalkan isteri Zurina Zakaria, 58, serta dua anak Najihah, 31, dan Ahmad Ashman Farabi, 28.

Jenazah Allahyarham Pyanhabib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, AU4, Kuala Lumpur pada jam 11.30 pagi tadi.

Sharifah Aini wasiat anak imamkan solat jenazah (video)

Hail Amir meninggag dunia di HKL

Artis versetile, Adibah Noor meninggal dunia

[VIDEO] Sekurang-kurangnya seorang maut, beberapa lagi hilang akibat tanah runtuh di Jawa Timur

0

JAKARTA – Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa individu hilang dalam kejadian tanah runtuh di daerah Lumajang, wilayah Jawa Timur, Indonesia pada 4 jun 2024.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), tanah runtuh melanda Kampung Supit di mukim Pronojiwo pada 11.15 pagi waktu tempatan dengan tiga mangsa dikhuatiri terperangkap.

Jurucakapnya, Abdul Muhari dalam satu kenyataan memaklumkan mayat mangsa ditemukan pada 3.30 petang waktu tempatan manakala usaha mengesan individu yang hilang diteruskan pada 5 Jun 2024.

“Operasi mencari tertumpu di sekitar kawasan tanah runtuh di kawasan perlombongan pasir,” katanya, sambil menambah bahawa tanah runtuh itu juga menimbus dua lori.

Ramalan cuaca daripada Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menunjukkan keadaan cuaca mendung di kawasan itu sehingga Khamis.

Namun, Abdul Muhari menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi potensi tanah runtuh selanjutnya.

BACA juga:

[VIDEO] Usia 80 tahun, Pak Yob timang anak pertama

0

Seorang bapa tidak dapat menahan rasa gembira dan sebak apabila mendapat zuriat pertamanya pada usianya sudah mencecah 80 tahun.

Video dimana si bapa atau mesra disapa Pak Yob ketika mengiqamatkan anak perempuan sulungnya mendapat perhatian media sosial sehingga tular di media sosial.

Anak perempuan Pak Yob selamat dilahirkan oleh isterinya berusia 42 tahun yang mesra dipanggil Ummi pada 31 Mei lalu, pukul 9.30 malam.

“Alhamdulillah, anak pertama setelah 10 tahun menunggu cahaya mata. Ayahnya umur 80 tahun. Zuriat kurniaan Allah,” tulis Ummi di ruangan komen.

Difahamkan jarak usia antara suami isteri yang menetap di Seberang Perai, Pulau Pinang adalah 38 tahun.

Sehingga kini video pasangan suami isteri itu mendapat lebih 2.5 juta tontonan, 103,600 tanda suka dan 16,400 perkongsian.

Tinjauan mendapati ramai berkongsi kegembiaraan dengan kelahiran tersebut serta ada juga pengguna tidak menyangka Pak Ayob sudah berusia 80 tahun.

“Subhanallah pak cik umur 80 ke? Tak nampak macam 80. Nampak macam 60 je. Sihat pak cik ni, alhamdulillah. Rezeki pak cik dan pasangan mendapat zuriat,” komen Noraziwani Abdul Aziz.

“Bertuah anak ni.. mungkin kudrat si ayah tidak seperti orang muda mengejar dan berlari-lari dengan anak. Tqpi kasih saya g, perhatian dan layanan tiada tandingan,” komen Amira pula.

Sementara itu, ramai juga pengguna dalam kalangan wanita yang masih menunggu zuriat memohon doa orang ramai agar ‘keajaiban’ turut berlaku kepada mereka suatu hari nanti.

“Doakan saya juga.. penantian selama 16 tahun. Semoga Allah tiupkan satu roh kecil ke dalam rahim ku. Amin,” komen Qu Mas.

“Alhamdulillah tahniah akak dan suami. Saya yang baru masuk 40 ni tak ada anak lagi. Kadang-kasang rasa malas nak fikir. Kalau ada, ok. Kalau tak ada pun ok. Mungkin kami kena terus berusaha lagi,” komen seorang wanita lain pula.

BACA juga:

[VIDEO] Claudia Sheinbaum lakar sejarah sebagai Presiden wanita pertama Mexico

0

BANDARAYA MEXICO – Claudia Sheinbaum dipilih sebagai Presiden wanita Mexico yang pertama selepas memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya semalam, demikian menurut keputusan rasmi awal.

Sheinbaum, 61, yang merupakan bekas Datuk Bandar Bandar Raya Mexico memperoleh antara 58 hingga 60 peratus undi, demikian menurut pengiraan undi pantas oleh Institut Pilihan Raya Nasional.

Ia adalah lebih 30 peratus mata di hadapan pesaing utamanya, Xochitl Galvez, serta 50 peratus melebihi satu-satunya calon lelaki, Jorge Alvarez Maynez.

Pengundi sebelum itu berpusu-pusu menuju ke pusat mengundi di seluruh negara Amerika Latin tersebut, walaupun keganasan sporadis tercetus di kawasan-kawasan yang terjejas oleh kartel dadah ultra-ganas.

Beribu-ribu tentera dikerahkan untuk melindungi pengundi berikutan proses pilihan raya yang sangat berdarah, yang telah menyaksikan lebih daripada 24 calon ahli politik tempatan terbunuh.

Terdahulu, Sheinbaum memuji apa yang disebutnya sebagai hari pilihan raya bersejarah.

Selepas membuang undi, Sheinbaum mendedahkan bahawa beliau tidak mengundi untuk dirinya sendiri tetapi untuk veteran sayap kiri berusia 93 tahun, Ifigenia Martinez, sebagai mengiktiraf perjuangannya.

“Hidup demokrasi!” laung Sheinbaum.

Sementara itu, beberapa pengundi wanita menyambut baik prospek seorang wanita yang memecahkan ‘siling kaca politik’ tertinggi di negara dengan kira-kira 10 wanita atau gadis dibunuh setiap hari.

“Seorang presiden wanita akan menjadi transformasi untuk negara ini, dan kami berharap beliau melakukan lebih banyak lagi untuk kaum wanita,” kata seorang tukang cuci dari Bandar Raya Mexico, Clemencia Hernandez.

BACA juga: