HomeBERITAOrang ramai tidak digalakkan jalani ujian antibodi vaksin COVID-19 - Khairy

Orang ramai tidak digalakkan jalani ujian antibodi vaksin COVID-19 – Khairy - huluselangor.com

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjalankan ujian antibodi untuk vaksin COVID-19 kerana masih tiada garis panduan klinikal dikeluarkan mengenai perkara itu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata seperti mana garis panduan dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat serta amalan di negara lain, ujian tersebut adalah tidak digalakkan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bakal keluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkara itu).

“Masih tidak ada garis panduan klinikal untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan yang tepat,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Persada PLUS, hari ini.

Menurut Khairy, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagaimanapun sedang menjalankan kajian mendalam mengenai kesan pengambilan vaksin COVID-19 ke atas sistem imun dan hasil kajian akan diumumkan kepada orang ramai.

Sementara itu, susulan kejayaan operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang dengan 98 peratus daripada penduduk dewasanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat 1 Ogos, Khairy berkata tumpuan kini diberikan kepada negeri-negeri yang sedang menyaksikan peningkatan kes harian.

Khairy berkata esok beliau akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta memberi taklimat kepada kerajaan negeri Johor mengenai perancangan dalam memastikan peningkatan kes di negeri itu dapat dikawal melalui pelbagai strategi vaksinasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia kini mendahului senarai vaksinasi harian per kapita di seluruh dunia namun dengan bekalan vaksin yang masih terhad, pemberian optimum negara sukar untuk melepasi kadar semasa 400,000 hingga 500,000 dos vaksin sehari.

“Bukan semua bekalan vaksin kita telah sampai. Bila kita beli, bekalan vaksin akan tiba dari minggu ke minggu, penghantaran mingguan. Jadi, sangat sukar untuk melepasi itu,” katanya.

— BERNAMA

Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

HomeBERITAOrang ramai tidak digalakkan jalani ujian antibodi vaksin COVID-19 - Khairy

Berkaitan

POPULAR