HomeBERITANajib Cadang Bank Wujudkan Program Pembiayaan Beli Saham

Najib Cadang Bank Wujudkan Program Pembiayaan Beli Saham - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan memperkenalkan program kepada bank di negara ini membiayai 70 peratus daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang dibenarkan.

Perkara itu dicadangkan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang menjelaskan cara berkenaan sama seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan ketika ini.

Katanya, rakyat mampu membina kekayaan apabila harga saham naik dan jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah. 

“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur dengan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, menarik dan merangsang perhatian pelabur.

“Antara langkah yang boleh diambil termasuk menggantung sekali lagi ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama enam bulan seperti dilaksanakan tahun lalu bagi menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. 

Najib turut mencadangkan proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai dipermudah dan dipercepatkan.

“Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti perkembangan perniagaan mereka.”

Najib turut mencadangkan kebenaran kepada rakyat membeli dan melabur dalam aset digital Kripto dengan mata wang ringgit ditambah baik.

“Ini bagi membolehkan mereka melaburkan dalam aset fizikal di pasaran tempatan. Sasaran kita adalah untuk membawa aset kripto melabur di dalam Malaysia bukan untuk rakyat Malaysia membawa keluar. 

“Bayangkan jika Malaysia berjaya menawan 5% sahaja daripada nilai US$2 trilion aset kripto dunia? Ini bersamaan dengan pengaliran dana asing sebanyak US$100 bilion atau RM410 bilion yang boleh memanfaatkan negara,” katanya. – BH Online

HomeBERITANajib Cadang Bank Wujudkan Program Pembiayaan Beli Saham

Berkaitan

POPULAR