Mukhriz dakwa tak tahu UMNO terima dana 1MDB

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui tidak mengetahui mengenai transaksi dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke dalam akaun negeri ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum ini.

Beliau yang memegang jawatan itu antara 2013 hingga 2016 berkata, urusan berkaitan dana parti diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menguruskan perbelanjaan dan agihan kepada setiap bahagian UMNO negeri.

“Saya tidak pasti bila perkara (terima wang 1MDB) itu berlaku, waktu saya jadi Pengerusi UMNO negeri dahulu memang kita ada keperluan untuk belanja setiap bahagian.

“Saya serahkan kepada Bendahari pada waktu itu, iaitu Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim untuk kendalikan.

“Jadi saya tak tahu apa kaedah yang beliau gunakan, tetapi memang dapat peruntukkan untuk menggerakkan aktiviti peringkat bahagian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Belia Negeri Kedah 2019 di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak membabitkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada syarikat pelaburan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tiga hari lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dipetik berkata, pihaknya mengenal pasti 41 individu dan entiti tempatan yang terbabit di dalam transaksi berkenaan.

Katanya, antara transaksi paling tinggi membabitkan UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia membabitkan satu akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut Mukhriz yang juga Menteri Besar berkata, peruntukan yang diminta UMNO Kedah sebelum ini tidak mencecah jutaan ringgit dan ia tidak membabitkan projek, kontrak atau perkara lain.

“Jika UMNO pernah terima duit dari sumber yang salah, saya kira UMNO perlu pulangkan balik duit yang diambil dan diagihkan kepada UMNO Kedah dan negeri lain,” katanya.

Mukhriz dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada Mei 2013 dan kemudian turut memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada Februari 2016, setelah majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya sekali gus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

…………………..
Mukhriz kata tak tahu dan menafikan terima duit 1MDB semasa memegang jawatan, tapi semalam (13 November 2019) mahkamah sah kan UMNO Kedah terima duit 1MDB.

Pautan seterusnya mengenai sebutan mahkamah, klik dibawah

Umno Kedah under Mukhriz Mahathir received RM15 million 1MDB money, court told