[Video] Muafakat Nasional Terjemahan Keadilan Untuk Semua, Sangkal Tohmahan, Fitnah PH – Zahid

PASIR PUTEH – Pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menuduh Muafakat Nasional akan mengenepikan serta tidak mempedulikan bangsa dan agama lain ternyata tidak benar sama sekali, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah bidasnya, sama sekali juga tidak benar apabila ada yang lebih ekstrem lagi mengatakan Muafakat Nasional adalah kesepakatan ke arah mewujudkan negara Taliban.

“Tetapi apabila Muafakat Nasional melalui Barisan Nasional (BN) mengiktiraf calon MCA sebagai calon BN dan Muafakat Nasional, lihatlah apa yang ditohmah dan difitnah oleh mereka (PH)… adalah suatu bukti bahawa Muafakat Nasional merangkumi semua agama dan semua kaum di negara ini.

“Dan memperlihatkan Muafakat Nasional menterjemahkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia dan parti politik pelbagai kaum,” ujarnya ketika merasmikan Konvensyen UMNO Negeri Kelantan 2019 di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Md Alwi Che Ahmad. Datuk Rosni Sohar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Ketua Muslimat PAS Kelantan yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini, BN meletakkan calonnya dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai terjemahan Muafakat Nasional yang turut disokong oleh PAS.

BN memenangi PRK tersebut dengan menewaskan lima calon yang lain termasuk dari parti kerajaan PH dengan majoriti besar, 15,086 undi.

Dalam ucapannya juga, Pengerusi BN itu mengambil peluang mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada PAS dan UMNO yang bersama-sama mendokong Muafakat Nasional.

“Secara rasmi UMNO Malaysia ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kepimpinan dan seluruh ahli PAS yang telah mendokong Muafakat Nasional.

“Dan tentunya keterbukaan UMNO untuk bersama-sama dengan PAS, biarpun ada perbezaan pendapat tetapi dapat disantuni dengan ‘adabul ikhtilaf’ (mempunyai adab untuk menangani perbedaan) di kalangan kepimpinan dan akar umbi.

“Alhamdulillah UMNO sangat terbuka bagi menyatukan adik-beradik yang bergaduh begitu lama untuk kembali ke sebuah rumah yang besar atas nama penyatuan ummah,” tambahnya.

Dr Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa orang Melayu dan Islam tidak akan mudah dipecahkan dari luar sebaliknya amat mudah jika bermula dari dalam.

“Orientalis barat seperti Snouck Hurgronje pernah menyebut bahawa umat Islam dan umat Melayu di nusantara sukar dipecahkan dari luar tetapi untuk memecahkan dari dalam ianya amat senang.

“Maka proses pemecahan di kalangan kepimpinan Melayu dari zaman Kesultanan Melaka, zaman mencapai kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan, maka pemecahan itu dilakukan dari dalam,” pesannya. – UMNO ONLINE