MP Hulu Selangor, tolong bangkit dari tidur – Mat Nadzari

HULU SELANGOR – Jika sebelum PRU-14 terutama ketika berkempen, segala macam janji telah ditaburkan kepada penduduk untuk memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Malah antara yang ditawar janji seperti mi segera – menang hari ini, esok dapat.

Bagaimanapun, selepas menang, segala macam alasan demi alasan diberikan tanpa rasa bersalah.

Apa yang lebih menyakitkan penduduk sekitar khasnya masyarakat India yang sebelum ini banyak memberikan sokongan kepada calon PH sehingga kini bergelar Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hu.

Seorang sumber yang enggan dikenali yang juga penduduk tempatan memberitahu, saban kali ke pejabat Ahli Parlimen Hulu Selangor hanya berakhir dengan kekecewaan.

Apatah lagi jika bercakap tentang janji pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Serendah.

Penantian penduduk India sekitar Serendah dengan janji pembinaan SJKT Serendah masih tidak kesampaian meskipun selepas pertukaran kerajaan juga sudah berlaku.

“Sampai sekarang tidak ada apa-apa. Penantian kami bukan sehari dua tapi sudah bertahun. Ingat tukar kerajaan negeri, selesai. Tidak juga. Tukar kerajaan pusat selesai, lagi tidak,” katanya kesal.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan kepada MalaysiaGazette baru-baru ini, semua ini tidak lebih daripada ‘cakap tidak serupa bikin.’

“Semua penduduk hendak tahu apakah status SJKT Serendah ini. Pimpinan PH semua sudah lupa dengan janji-janji mereka yang bukan main banyak sebelum menang.

“Bukan sahaja mereka semua sudah menang Negeri sebaliknya kerajaan Persekutuan juga malah kawasan ini juga sudah menang. Apa lagi alasan yang boleh mereka bagi?

“Dulu boleh bagi alasan dan jadikan ianya satu bahan untuk berkempen, bakar sentimen pengundi tapi kini jika mahu anda sudah boleh buat sesuatu. Apa pula alasan kali ini?

“Saya hendak tanya, mana ‘hilangnya’ tokoh serta pemimpin hebat mencari publisiti percuma dan murahan sebelum ini? Ahli Parlimen Batu Gajah? menteri seperti YB Xavier? Mana kamu semua? Cukuplah, rakyat bukan bodoh lagi,” katanya.

Soal Mat Nadzari lagi, apakah yang telah terjadi dengan peruntukan sebanyak RM6.3 juta selain peruntukan tambahan lain.

“Kepada Ahli Parlimen, Puan June pula, cukuplah tidur. Bangkit boleh? Adakah kamu pergi Parlimen? Ada bercakap tentang penduduk sini?

“Ingat sikit, kamu telah dipilih oleh rakyat yang begitu mempercayai kamu. Kamu juga sebelum ini telah banyak menabur pelbagai janji. Paling penting, kata kamu akan bekerja sekeras mungkin.

“Apa jadi sekarang? Ketika kerajaan lama buat kerja, kamu kritik siang malam tidak habis. Sekarang, tampuk kuasa dalam tangan tapi ‘habuk pun tiada’.

“Jika rasa berat sangat tanggungjawab ini, tolong letak jawatan secara bermaruah. Jangan terus main silap mata dengan penduduk setempat, kasihan pada mereka sedikit,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Rujukan:
Ahli Parlimen PH Hulu Selangor cakap tak serupa bikin