Modus Operandi Penyamar LHDN

0
93
Wanita Rugi RM25,000 Ditipu Sindiket Macau Scam

BEBERAPA hari lalu Mynewshub mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan jenayah Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan jenayah itu dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 1 Januari hingga 27 Mei 2021.

Kali ini jom kita teliti bagaimanakah modus operandi penjenayah-penjenayah licik ini seperti didedahkan sendiri oleh pihak LHDNM.

Secara umum terdapat lima jenis taktik penipuan digunakan dalam jenayah itu termasuk menggunakan alasan tunggakan cukai serta pelarian cukai, kegiatan jenayah dan pengubahan Wang Haram.

Taktik lain adalah menggunakan alasan lawatan pungutan, audit atau siasatan cukai; keuntungan penjualan saham atau bayaran balik cukai terlebih bayar.

1) Kes Tunggakan Cukai

– Mangsa menerima mesej, panggilan telefon, surat atau emel daripada sindiket yang memaklumkan konon terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDNM.

– Mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDNM atau pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan.

2) Pelarian Cukai, Kegiatan Jenayah dan Pengubahan Wang Haram

– Mangsa dihubungi kononnya terlibat dengan pelarian cukai, jenayah dan pengubahan wang haram. Sehubungan itu akaun bank milik mangsa akan disekat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

– Mangsa kemudian akan disambungkan untuk bercakap dengan individu menyamar pegawai polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa bertujuan untuk menimbulkan perasaan panik dalam kalangan mangsa. Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank pihak ketiga yang kononnya akan dipindahkan semula ke akaun milik mangsa apabila ‘kes jenayah’ mangsa telah selesai.

3) Lawatan Pungutan / Audit / Siasatan Cukai

– Mangsa menerima kunjungan individu menyamar sebagai pegawai LHDNM konon untuk memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan cukai. Sindiket akan meminta dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa dan memaklumkan kononnya mangsa telah salah lapor cukai pendapatan. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran ‘baki cukai tambahan’ yang ditaksirkan ke dalam akaun bukan milik LHDNM.

4) Keuntungan Penjualan Saham

– Mangsa menerima surat atau emel memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti perdagangan saham dengan salah satu syarikat pelaburan dan dikehendaki membuat bayaran tunggakan cukai berdasarkan arahan yang diberikan oleh sindiket penipuan.

5) Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar

– Mangsa menerima emel memaklumkan mangsa mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh LHDNM. Mangsa diminta klik pada pautan disediakan dalam emel palsu tersebut dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank termasuk kata laluan perbankan internet mangsa kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dapat dibuat oleh LHDNM.

Semoga pengetahuan tentang modus operandi jenayah Macau Scam menggunakan nama LHDNM ini dapat memberi panduan sekiranya berdepan dengan sebarang kemungkinan diri cuba dimangsakan. – Mynewshub.TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.