Sebenarnya malas nak cerita barang yang lepas. Tapi bila melihat ramai nak jadi juara masalah dedak dan harga ayam teringin pulak nak tambah.
Dulu dah mula projek rintis tanam jagung bijiran (grain corn) untuk makanan haiwan. Nak lawan pandangan kita tak perlu tanam jagung bijiran. Import sahaja seratus peratus. 4 juta metrik tan atau, lebih RM 3 bilion setahun.
Pengimport tak suka kita tanam. Katanya, import lebih mudah dan harga lebih murah. Malaysia pula tak boleh keluarkan jagung bermutu tinggi, kata mereka.
Projek rintis di Dadong dan ladang encik Ramana K Naidu di Kedah, buktikan 2 perkara. Jagung kita lebih tinggi kandungan protennya dan bebas aflatoxin (racun dikaitkan dengan fungi oleh cuaca yang lembab). Ertinya boleh tanam dan boleh dikembangkan.
https://animhosnan.blogspot.com/2016/06/kg-dadong-pelancaran-jagung-bijirin_28.html
MOA ketika itu dah buat plan jangka panjang. Tahun 2018-2032 untuk capai pengeluaran sehingga 30 peratus. Nak seratus peratus perlukan lebih 200 ribu hektar tanah. MADA pun baru ada sekitar 120 ribu hektar.
Tup tup bertukar kerajaan. Tak ada siapa nak teruskan kecuali encik Ramana tadi (sekarang untung besar). Tu pun baru sekitar 200 ekar. Ciput. Yang lain ada sikit sana-sini.
Kita sangat corot berbanding Indonesia yg mengeluarkan 13 juta metrik ton setahun, Filipina 8 juta, Thailand 5.6 juta. Cuaca mereka lebih kurang kita.
Kesian kat menteri KPDNKK. Serbu pun tak guna. Bila kita import jagung seratus peratus, penternak ayam terdedah kepada harga pasaran dan naik turun matawang kita. Lagi banyak import lebih teruk lah matawang akan jatuh. Harga ayam, ikan sangkar dan ternakan lain yang bergantung kepada sumber jagung akan turut naik. Selain faktor pengeluaran lain.
Jadi KPDNKK kena serbu juga MITI kenapa tak banyakan lagi eksport kita, atau tarik pelabur dan wang luar masuk kerana ia ada kaitan dengan nilai matawang kita? Atau terus serbu MOF supaya naikkan nilai matawang kita. Najib pun dah lama turun. Bila lagi ringgit nak naik?
Ada cadang supaya beri subsidi dedak. Mmmmm banyak belanja tu. Tapi masih bergantung kepada dedak yang asasnya diimport. Jangka pendek ok.Bagi saya, baik bagi insentif tanaman jagung. Dulu di Dadong guna kawasan padi bukan jelapang yang hanya tanam setahun sekali, lepas tu, terbiar. Jagung pun macam padi. Lebih kurang 100 hari utk dapatkan hasil.
Banyak kawasan padi yang tak digunakan di Pahang, Terengganu, atau Sabah. Tak payah tebang hutan. Tanah yang datar mudah guna jentera.
Kata orang tua-tua, berjagung-jagung dahulu sebelum tunggu padi masak.
Cuma sedikit pengalaman, berhati-hati lah, 2 musuh utama industri jagung bijiran: Tikus dan politikus.
Yang kedua tu saya rasakan sendiri. Banyak mengkritik dan bila ambil tanggungjawab tak mahu teruskan walaupun ianya baik untuk masa depan.
Maaf panjang sikit…