Lelaki amuk, tetak dua rakan sekerja ditembak mati

119
0

GEORGE TOWN — Polis menembak mati seorang lelaki selepas dia bertindak menetak dua rakan sekerjanya sehingga salah seorang daripadanya maut, dalam kejadian di sebuah kilang di Bayan Lepas, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, pekerja lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan mengamuk di tempat kerjanya dan kemudiannya menetak seorang penyelia wanita dan seorang pengurus keselamatan kilang tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt AA Anbalagan berkata akibat kecederaan pada beberapa anggota badan dan kepala, penyelia wanita berusia 47 tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

“Lelaki itu yang hadir bekerja di kilang tersebut hari ini bertindak mengamuk, sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan tersebut,” katanya di sini malam ini.

Anbalagan berkata pihak keselamatan kilang telah menghubungi polis dan sebaik sampai, anggotanya meminta lelaki tersebut menyerah diri, namun dia bertindak menyerang polis bersenjatakan dua bilah parang, sebelum polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Anbalagan berkata lelaki yang bekerja sebagai pembantu kualiti di kilang itu maut di lokasi kejadian akibat tembakan berkenaan.

Menurutnya pengurus keselamatan yang berusia 53 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dikatakan mengalami kemurungan sejak beberapa bulan lepas dan tidak hadir bekerja sejak seminggu lepas, sebelum tiba-tiba dia hadir hari ini, lelaki itu juga telah menghantar surat peletakan jawatannya yang berkuatkuasa hujang bulan ini,” katanya.

Katanya lelaki itu telah bekerja di kilang berkenaan sejak dua tahun lepas dan polis kini sedang menyiasat motif sebenar, suspek bertindak sedemikian.

Beliau berkata polis turut merampas dua parang dan sebilah pisau yang digunakan lelaki itu dalam kejadian itu. — Bernama