ALOR SETAR: Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh yang menjadi pencetus jangkitan COVID-19 bagi Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga sudah dipindahkan ke Penjara Pokok Sena, semalam.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, sebelum ini dikuarantin dan dipantau kakitangan Jabatan Kesihatan negeri di Hospital Alor Setar (HAS) bagi memastikannya bebas COVID-19.
Selepas dijatuhkan hukuman penjara pada 13 Ogos lalu, katanya, lelaki berkenaan dikawal wadar penjara di wad sebelum dibenarkan keluar hospital, semalam.
“Petang semalam, dia sudah discaj dan terus dibawa ke penjara. Mengikut keputusan asal, dia akan ke Penjara Pokok Sena,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Nezar Mohamed dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian COVID-19, namun hukuman penjara ketika itu tidak dapat dijalankan kerana dia dalam pemantauan di wad hospital.
Lelaki berkenaan ditahan polis pada 23 Julai lalu kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai.
Pada proses pertuduhan di Wad 1 HAS, 13 Ogos lalu, dia mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan kedua, iaitu meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian apabila berada di Bank Rakyat Jitra pada jam 4.40 petang dan berada di Agro Bank Jitra pada jam 3.58 petang, 14 Julai.
Nezar Mohamed juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan ketiga dan keempat, iaitu berada di Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada jam 3.35 petang dan berada di Public Bank Jitra pada jam 3 petang, tarikh yang sama.
Dia yang berstatus penduduk tetap, dihukum mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Peniaga itu dikesan orang ramai memakai gelang merah jambu ketika berada di kedainya semasa menjalani perintah kuarantin 14 hari.
Akibatnya, sekurang-kurangnya 45 individu didapati positif COVID-19 di bawah Kluster PUI Sivagangga di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Pada 19 Ogos lalu, seramai 200 penduduk sekitar Napoh menerusi Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) memfailkan saman ke atas Nezar Mohamed di Mahkamah Tinggi Alor Setar kerana didakwa menyebabkan penularan pandemik COVID-19.
Ia bagi menuntut ganti rugi RM1.5 juta kerana peniaga berkenaan didakwa menjadi pencetus Kluster PUI Sivagangga yang mengakibatkan penduduk dan peniaga terjejas.