KUALA LUMPUR – Kebenaran merentas negeri berskala besar perlu dinilai secara berhati-hati supaya tidak mendatangkan implikasi dan beban kepada fasiliti kesihatan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan harus meneliti secara menyeluruh kerana perjalanan besar-besaran buat masa ini berupaya membawa jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan tidak berisiko.
“Saya harap kita dapat fikir secara mendalam seperti kita sedang berusaha ke fasa endemik yang akan merangkumi keputusan merentas negeri.
“Pelbagai pertimbangan lain perlu diambil kira seperti peratusan vaksinasi, keperluan hospital dan kapasiti katil unit rawatan rapi.
“Menjadi fokus kerajaan untuk memberi kelonggaran yang selamat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Menteri Kuartet juga bersetuju cadangan untuk stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam.
Katanya, premis perniagaan itu akan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga jam 12 tengah malam di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Tambah baik prosedur operasi standard (SOP) daripada 181 kepada 10 sahaja berjalan lancar dan dijangka diselesaikan Oktober ini,” katanya. – myMetro Online