Kepimpinan UMNO Yang Terbuka, Rasional dan Merendah Diri

Oleh: Ab Jalil Backer

1. Dalam ucapan di Konvensyen UMNO Negeri Sembilan (KUNS) pagi tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan kesediaan menerima wakil-wakil rakyat dan bekas ahli yang keluar parti selepas PRU lepas.

2. Ini menunjukkan kepimpinan parti bersikap realis, terbuka dan rasional dalam membuat pertimbangan politik.

3. Lebih penting kepimpinan parti menunjukkan sikap rendah diri dan tawadduk. Harapan saya sikap merendah diri akan diteruskan kerana kebanyakan pengundi mahu melihat pemimpin yang sederhana dan bertimbang rasa.

4. Yang ego, dendam dan berpartisan secara rigid ini adalah jenteta parti atau pentaksub pemimpin tertentu. Kita memerlukan sokongan mereka, namun tidaklah sehingga merosakkan parti dan menyebabkan rakyat benci kepada kita.

5. Dalam politik kita memerlukan sokongan ramai untuk mengambil alih pentadbiran negara. Jika ada wakil rakyat mahu kembali kepada kita ia menunjukkan idealisme perjuangan kita mula mendapat sokongan.

6. Parti yang mempunyai ramai wakil rakyat akan mempunyai lebih besar pengaruh dan kedudukan. Pengaruh dan kedudukan ini penting dalam menjayakan perjuangan kita.

7. Islam mengajar kita bersangka baik, berbaik-baik sesama Islam dan bijaksana dalam politik. Malangnya kritikan sebahagian orang terhadap keterbukaan Presiden menunjukkan kita tidak menghayati Islam sepenuhnya.

8. Jika kita berterusan memarahi orang yang pernah meninggalkan kita, tidak mengundi kita, atau menentang kepimpinan tertentu suatu masa dulu, maka berapa kerat yang tinggal dalam perjuangan kita?

9. Saya fikir sudah sampai masanya kita menumpukan usaha menarik sokongan pelbagai pihak, bukannya mengherdik orang yang kita tidak suka.

10. Mereka yang mementingkan kejayaan perjuangan akan melihat apa sahaja bentuk sokongan dan dokongan bagi memgukuhkan parti adalah sebagai satu kejayaan.

11. Sebaliknya mereka yang mementingkan kedudukan dan kelompok sendiri akan berusaha menyekat orang lain kerana khuatir peluang mereka atau pemimpin mereka menjadi calon PRU dan jawatan dalam parti akan tercabar.

12. Seperti kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dalam ucapan penutup KUNS 2019, politik ini bersifat dinamik dan parti perlu sentiasa bersedia menangani perubahan bagi memperkuatkan parti.