HomeBERITAKemelut Politik Perak 99.9 Peratus Selesai - Ahmad Maslan

Kemelut Politik Perak 99.9 Peratus Selesai – Ahmad Maslan - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – UMNO yakin kemelut politik di Perak yang tercetus sejak 4 Disember lalu akan berakhir hari ini. 

Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ketika ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berbincang isu terbabit.

“Pada saat dan ketika ini, Presiden UMNO, PAS dan BERSATU sedang berbincang, …berbincang (bagi) menyelesaikan (kemelut politik di Perak). Saya yakin krisis di Perak selesai hari ini.

“Hari ini selesai, 99.9 peratus selesai,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi perbincangan antara tiga pemimpin terbabit berlangsung. 

Yang turut hadir, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Ahli Parlimen Baling dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. 

Kemelut politik Perak tercetus selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli dewan terhadap Menteri Besar Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu. 

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali dan mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sehari selepas itu. 

Susulan itu, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Setakat ini, Ahmad Zahid bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; pimpinan Pakatan Harapan iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi serta ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah menghadap Sultan Perak, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. 

Dalam perkembangan berasingan, Shahidan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menarik balik keputusan menjual anak syarikat TH Plantations Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco). 

Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan memastikan tiada lagi pertimbangan dibuat untuk menjual aset TH dan berharap mana-mana harta kerajaan yang dijual kerajaan terdahulu, dikembalikan semula. 

“Saya nak mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana menarik balik keputusan untuk menjual aset TH. Jadi saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen lain berharap tiada lagi sebarang pertimbangan untuk menjual aset TH,” katanya. – BH Online

HomeBERITAKemelut Politik Perak 99.9 Peratus Selesai - Ahmad Maslan

Berkaitan

POPULAR