Keluarga yakin tulang ditemui di Gua Kandu bukan milik Acap

0
1052

Abang kepada peserta Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT 2019) Mohamad Ashraf Hasan yakin tulang yang ditemui seakan tulang manusia di Gua Kandu di Gopeng, Perak bukan milik adiknya.

“Ikut bentuk macam tulang betis tapi tak pasti lagi sebab kita pun tak boleh buat apa-apa andaian. Jadi kami serahkan kepada pakar untuk mengenal pasti tulang itu,” kata Mohd Zahiruddin seperti dilapor mStar Online.

“Tapi kalau anda tanya saya secara peribadi, saya tidak rasa itu tulang adik saya. Banyak faktor perlu diambil kira.”

Abang sulung pelari yang hilang sejak 23 Mac lalu berkata tulang itu ditemui semasa usaha mencari kumpulannya dan bapa saudara petang Sabtu lalu sebelum memaklumkan kepada penduduk kampung dan bomba.

Seorang lagi abang kepada Acap, Mohammad Azlan berkata dirinya akan ke Balai Polis Gopeng untuk melakukan ujian DNA.

“Sekejap lagi saya ke Balai Polis Gopeng untuk buat ujian DNA. Namun saya pasti tulang itu bukan (milik) adik saya walaupun banyak binatang berbisa di situ,” katanya seperti dilapor portal itu lagi.

Ketua polis Perak semalam dilapor berkata forensik sudah mengambil serpihan tulang itu, dipercayai tulang lama, untuk ujian patologi kimia.

Datuk Razarudin Husain berkata analisis perlu dijalankan terlebih dahulu untuk menentukan sama ada ia tulang manusia sebelum membuat padanan ujian DNA dengan keluarga Muhammad Ashraf.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.