KDN Harus Gantung Kegiatan Parti Dap, Gesa Razlan

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menggesa pihak Keselamatan Dalam Negeri (KDN) menggantung operasi dan kegiatan parti Dap sementara sehingga siasatan selesai.

Ini katanya, ekoran penangkapan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti tersebut yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan.

“Sekira di Amerika, organisasi seperti ini akan diharamkan dan segala punca dana dan akaun akan disiasat dan digantung.

“Pihak kerajaan harus mengutamakan keselamatan rakyat daripada mementingkan sebuah parti yang menyokong kerajaan.

“Kita tak nak nasi menjadi bubur, tak nak melihat negara kita diancam keselamatan dek kerana kerajaan ambil mudah kegiatan pengganas parti Dap ini,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Hari ini, sebagaimana laporan media arus perdana, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka yang ditahan polis adalah ADUN Seremban Jaya, Gunasekaren Palasamy yang merupakan Timbalan Pengerusi Dap Negeri Sembilan, manakala seorang lagi, ADUN Gadek, Saminathan Ganesan, juga EXCO Kerajaan Negeri Melaka (portfolio Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna) yang juga Setiausaha Organisasi Dap Melaka dan Ketua Dapsy Melaka.

Sebelum ini juga tular beberapa laporan dan gambar beberapa pemimpin Dap yang dipercayai terbabit dalam majlis memperingati upacara perjuangan kumpulan pengganas LTTE. – UMNO ONLINE