HomeBERITAKaedah Taktikal Dan Psikologi Hapus Saki-Baki Komunis

Kaedah Taktikal Dan Psikologi Hapus Saki-Baki Komunis - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Kegagalan Parti Komunis Malaya (PKM) merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata yang seterusnya membawa kepada pembubaran pasukan Bintang Tiga itu pada 1989, membuktikan kehebatan pasukan keselamatan negara dalam menentang ideologi perjuangan komunis di negara ini.

Pendekatan taktikal dan psikologi antara kaedah yang digunakan pasukan keselamatan terutama dalam menghapuskan saki-baki komunis di tanah air sekitar tahun 70 dan 80-an seperti mana yang dikongsikan dua wira negara, Datuk Paul Kiong dan Kapten (B) Dr Wong Ah Peng.

Meskipun kedua-dua mereka bertugas dalam pasukan keselamatan yang berbeza, Kiong dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Wong dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun misi dan matlamat kedua-dua anggota keselamatan ini adalah sama untuk menumpaskan pengganas komunis demi keamanan negara.

Kiong, 77, berkata, pengalamannya dalam tugas risikan dalam Cawangan Khas PDRM telah mendapat kepercayaan pihak atasan untuk menjalankan misi penyamaran bagi mendapatkan maklumat kegiatan komunis di negara ini.

Pendekatan serangan psikologi yang digunakan membolehkan beliau mendekati dan menyamar sebagai anggota kumpulan komunis itu untuk mendapatkan maklumat sebanyak mungkin sekali gus memudahkan usaha menumpaskan mereka.

“Jika guna pendekatan bunuh musuh (komunis), tidak akan memberikan sebarang maklumat kepada pasukan. Jadi saya terpaksa menyamar sebagai pembekal makanan bagi mendapatkan kepercayaan anggota komunis selepas diarahkan pihak atasan, melihat kepada pengalaman dan ilmu yang saya ada mengenai pergerakan kumpulan itu.

“Bermula dari situ, saya tidak berpatah balik dan meneruskan penyamaran dengan menyertai kumpulan elit dan bergaul dengan mereka (komunis) selama enam tahun,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama baru-baru ini.

Kiong anak kelahiran Ipoh, Perak berkata, taktik digunakan itu ternyata berkesan apabila 43 anggota komunis termasuk lapan wanita berjaya ditahan di sebuah kem di Cameron Highlands, Pahang dalam satu operasi Operasi Catfish: Stoke Coffin Camp sekitar Jun 1981.

Kesemua anggota komunis berkenaan ditahan tanpa sebarang pertumpahan darah dan langsung tiada peluru digunakan, katanya.

“Itu adalah satu kejayaan terbesar sepanjang tempoh berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan PDRM,”katanya menambah sepanjang tempoh operasi itu beliau jarang berjumpa dengan keluarga sehingga anaknya yang berumur empat tahun ketika itu tidak mengenali dirinya setelah pulang ke rumah.

Beliau yang bersara pada 1 Februari 1988 dalam perkhidmatan telah menerima banyak anugerah atas jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis antaranya Bintang Kehormat Seri Pahlawan Gagah Perkasa 1983 dan Pingat Keberanian Handal Perak 1988.

Berkongsi cerita berbeza, Wong, 65, yang bertugas dalam pasukan Briged Kesembilan Infantri Malaysia ketika itu, menggunakan kaedah taktikal dalam mengesan dan menggempur kem pengganas komunis semasa mengetuai satu operasi khas di Gunung Korbu, Hulu Kinta Perak pada 1 Jun 1979.

Beliau bersama 10 anggota berpengalaman terdiri daripada anggota pribumi Sabah, Sarawak serta Orang Asli telah memulakan pendakian pada tengah malam dengan hanya berpandukan cahaya bulan bagi mengelakkan kehadiran mereka disedari musuh.

“Sewaktu menyusup pada waktu malam, saya terlihat kesan yang ditinggalkan termasuk simbol amaran yang dibuat di atas batu besar, yang menandakan kawasan itu adalah kawasan pengganas komunis.

“Melihat kepada simbol itu, saya tahu risiko yang menanti dan paling dirisaukan adalah jerangkap samar yang digunakan sebagai mekanisme pertahanan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selepas berjaya mengepung kem itu, kehadiran mereka telah disedari pengganas Bintang Tiga itu dan menyebabkan pasukannya terpaksa menyerang kem yang terletak pada ketinggian 5,000 kaki itu.

Dalam kejadian pada kira-kira 3 petang itu, pihaknya berbalas tembakan selama 45 minit dan akhirnya kemenangan berpihak kepada mereka dan tiga anggota skuad elit pengganas itu berjaya ditembak mati.

Susulan kejadian itu, Wong turut mengalami kecederaan pada kaki kiri akibat terkena serpihan bom buatan sendiri pengganas komunis.

“Itulah saat-saat getir yang pasukan kami hadapi apabila dihujani peluru musuh dengan tembakan bertalu-talu namun, akhirnya situasi berpihak kepada kami apabila berjaya menguasai situasi.

“Pertempuran kali ini sengit kerana kita tahu kita berdepan kekuatan pihak lawan lebih daripada 30 orang. Menyedihkan, dua anggota kami turut terkorban dalam insiden berdarah itu,” katanya kejadian itu adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila sepanjang 10 tahun perkhidmatannya dalam tentera.

Wong yang bersara pada 1986 turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk bersama-sama mempertahankan tanah air tercinta daripada sebarang anasir yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman negara bagi memastikan kemerdekaan yang dicapai ini kekal sampai bila-bila. – BERNAMA

HomeBERITAKaedah Taktikal Dan Psikologi Hapus Saki-Baki Komunis

Berkaitan

POPULAR