Janji PH Berkaitan PTPTN Diheret Ke Mahkamah, Perlu Ada Akta Manifesto

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Gerakan Muafakat Nasional bersama plaintif yang terdiri daripada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memfailkan saman terhadap agensi tersebut dan juga parti Pakatan Harapan (PH) serta kerajaan berhubung janji mengenai PTPTN.

Pengerusi Gerakan Manifesto Nasional, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata tujuan mereka adalah dengan hasrat agar mana-mana pemimpin parti politik tidak lagi melemparkan janji yang bukan-bukan yang tidak boleh ditunaikan oleh mana-mana pihak.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu petisyen akan digerakkan termasuklah menerusi online serta ianya akan diperluaskan ke seluruh negara yang akan bermula bulan hadapan dan akan diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agong.

“Kita tidak tahu di mana nak mengadu soal ini dan kita dah bincang dengan peguam bahawa ada peluang untuk bawa kes ini ke mahkamah dengan niat dan hasrat pertamanya mengajar pemimpin kita ini jangan cakap sebarangan dan jangan melemparkan janji yang bukan-bukan yang tidak boleh ditunaikan oleh mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Jalan Duta, di sini, hari ini.

Sementara itu, Peguam Adnan Seman yang mewakili plaintif berkenaan berkata plaintif terbabit yang merupakan peminjam PTPTN memfailkan saman terhadap agensi berkenaan sebagai defendan pertama, defendan kedua adalah parti PH dan ketiganya adalah kerajaan Malaysia.

“Dalam tuntutan ini kita banyak menggariskan perkara-perkara berkaitan manifesto iaitu yang dibentangkan pada PRU-14 dan di dalam Buku Harapan terdapat 100 hari 10 janji yang mana salah satu janji menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam. Nampaknya dasar senarai hitam telah pun dilaksanakan kecuali penangguhan sehingga gaji RM4,000.

“Dalam janji kelima pula defendan PH berjanji  untuk meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak muda. Di muka surat 26 dan 27 di mana defendan kedua berjanji secara verbatim iaitu bebanan hutang PTPTN yang ditanggung oleh graduan akan dikurangkan dengan cara melanjutkan tempoh mula bayar agar mereka mula membayar hanya apabila pendapatan bulanan kasar mencapai RM4,000 sebulan,” katanya.

Tambahnya lagi, mereka juga berjanji untuk menyusun semula semula struktur pembayaran pinjaman PTPTN supaya jumlah pembayaran bergantung kepada jumlah gaji peminjam dan akan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

“Kita tengok isu PTPTN diulang berkali-kali dan di dalam Buku Harapan defendan kedua juga menyatakan iltizam ‘Ilztizam Khusus Untuk Anak Muda’ di mana Iltizam Keempat yang bertajuk ‘Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma’ telah berjanji di perenggan kelapan di muka surat 189 iaitu menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam,” ujarnya.

Jelasnya lagi kelima-lima plaintif memfailkan saman bagi pihak diri mereka sebagai pengundi yang berdaftar, sebagai peminjam PTPTN menuntut supaya kerajaan menangguhkan pembayaran balik sehinggalah mereka mendapat gaji RM4,000 sebulan.

Adnan seterusnya memberitahu pihaknya akan membawa perkara berkenaan sehingga ke peringkat mahkamah tertinggi dan kes berkenaan dibuat secara secara probono, secara percuma kepada peminjam ini demi untuk menegakkan satu keadilan.

Katanya lagi jika kalah di Mahkamah Tinggi, pihaknya  akan pergi ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

“Kita nak beri peluang Mahkamah Persekutuan mahkamah tertinggi dalam negara untuk membuat satu keputusan penting berkaitan dengan kepentingan awam, kepentingan rakyat dan kepentingan negara adakah manifesto ini merupakan satu janji biasa atau pun ianya satu perjanjian yang mengikat kepada parti-parti yang bertanding.

“Jadi kita mahukan keputusan ini dibuat malahan dalam perbincangan saya dengan gerakan ini saya juga mencadangkan gerakan ini membawa juga isu mendesak dan menggesa kerajaan melaksanakan agar digubal satu akta manifesto.

“Kita perlu ada akta ini supaya ianya tidak dijadikan satu mainan politik, tidak menjadi satu polemik, gelak ketawa bukan sahaja dalam negara malah sehingga ke luar negara kerana dalam pilihan raya parti-parti yang bertanding ini akan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat,” tegasnya.- UMNO Online