Nampaknya kekuatan Tun Mahathir Mohamad (Tun M) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya pada satu perkataan iaitu ‘kleptokrasi’, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Tetapi bab bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan suaminya Datuk Dr Tawfiq Ayman, bidas bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu, mereka berdua membisu tanpa sepatah perkataan.
“Sedangkan kedua-duanya pernah jadi Perdana Menteri (PM). Datuk Wan Junaidi (Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)) kata kerajaan tahu kes suami Zeti pada tahun 2019. Ketika itu Tun M adalah PM dan Muhyiddin Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri).
“Maka siapa merosakkan reputasi sistem keadilan di Malaysia? Tun M lantik Zeti jadi Pengerusi PNB (Permodalan Nasional Berhad), Muhyiddin mengekalkannya kerana Zeti bersara pada bulan April 2021.
“Bahkan nama baik Bank Negara turut terjejas. Ini kerana maklumat Singapura kepada BNM tahun 2015 disorokkan. Apa Mahathir dan Muhyiddin buat setelah mengetahuinya?” Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Dr Puad, di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, rakyat menolak momokan ‘kleptoktasi’ dan mereka lebih nampak perkataan lain seperti ‘bohong, dendam dan fitnah’.
“Masih membisu juga? Memang hipokrit,” tempelaknya lagi.
Dilaporkan, pada Mac lalu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat siasatan terhadap suami dan juga anak bekas gabenor BNM itu berhubung dakwaan ada menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di Singapura.
Manakala pada 19 Nov lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM) dalam satu kenyataan mengesahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana yang dikaitkan dengan 1MDB telah diperoleh dari Singapura dipegang oleh syarikat Cutting Edge Industries Ltd. yang dimiliki oleh Tawfiq dan Samuel Goh.