Naib Canselor baharu UPM, UPSI diumum dalam masa terdekat – KPT

52
0

KUALA LUMPUR  — Naib canselor baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia akan diumum dalam masa terdekat, demikian menurut Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Menurut kenyataan KPT, calon naib canselor baharu bagi Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi Mara pula dalam proses ditemu bual oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

“Proses pelantikan naib canselor universiti awam dijalankan secara terperinci dan pencarian calon dibuat secara terbuka melalui kaedah pengiklanan yang dikendalikan pihak universiti. Kementerian ini sentiasa menjunjung tinggi prinsip keterbukaan serta ketelusan dalam urusan pelantikan jawatan naib canselor universiti awam,” kata KPT.

Semalam Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa KPT segera membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan naib canselor di lima universiti awam itu sejak awal tahun ini.

Menurut kenyataan itu, KPT mengambil serius perkara berkenaan dan proses saringan serta pemilihan calon naib canselor universiti awam dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan tatacara pelantikan berdasarkan prosedur operasi standard sedia ada.

KPT turut menzahirkan penghargaan kepada CUEPACS serta pihak berkepentingan lain yang mengambil berat dan menyatakan komitmen untuk mengambil langkah yang perlu bagi memastikan proses pelantikan naib canselor universiti awam berjalan lancar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here