Mungkin Malaysia boleh belajar cara tangani dan hadapi COVID-19 daripada Uganda?

49
0

Satu pengalaman menarik pesakit Covid-19 di Uganda juga warga negara Malaysia dan dikongsikan di laman Facebook beliau di pautan;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2894020407520724&id=100007383784757

Melalui pengalaman dan pemerhatian beliau di sana, individu tersebut yang yang bernama Nora Jane Yi-Linn Kaur memberikan cadangan agar kerajaan Malaysia cuba menangani ancaman pandemik ini secara lebih berhemah, kurang panik, malah keluarga juga dibenarkan bertemu dengan pesakit di hospital.

Beliau juga menyarankan agar Malaysia boleh belajar bagaimana cara mengurus pandemik ini daripada Uganda atau negara Afrika lainnya dan bukan semata-mata melalui “dasar pandang ke Barat” tetapi cuba mengkaji bagaimana sebuah negara yang dilihat mundur dan miskin namun lebih berkesan menangani Covid-19.

Beliau juga mahukan pandangannya ini dikongsikan sebanyak mungkin agar ada pihak yang akan ‘mendengar’ saranan beliau untuk dikaji dan dilaksanakan khususnya pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan serta frontliners yang terlibat secara langsung berdepan dengan pandemik ini.

Justeru pandangan penuh beliau dikongsikan di bawah;

Selepas saya experience terkena Covid-19 di Uganda, kali ni saya experience pulak handle ayah sendiri kena Covid-19 di Malaysia. Dan saya hanya handle dari jauh dengan adik beradik lain di Malaysia, kami sama-sama bekerjasama mana termampu. (MAAF TULISAN PANJANG TETAPI MOHON AMBIL MASA BACA PERKONGSIAN SAYA). 

Cuma kami cukup pelik juga, bila ada antara kami mahu pulang rentas negeri untuk berada di sisi ayah yang sakit, polis kata mereka akan bagi kebenaran rentas negeri sekiranya ada surat doktor dikeluarkan pada ahli keluarga terkena Covid-19. Bila bercakap dengan doktor/pihak hospital pula, mereka kata, pihak mereka tidak boleh keluarkan apa-apa surat.

Tidakkah bercanggah apa yang polis mahu dengan apa yang pihak hospital boleh buat?

Ahli keluarga tidakkah jadi panik apabila polis dan hospitalpun bercanggah? Atau sebenarnya polispun panik pihak hospitalpun panik? Maaf, pendapat peribadi tolong jangan emosi dan ini cerita saya kongsi dari Uganda… 

Semalam hampir 3 jam saya bercakap dengan salah seorang doktor yang merawat Covid-19 saya di Uganda ini, dan bila saya sharing cara kita handle Covid-19 di Malaysia berbeza dengan apa yang saya lihat sendiri bagaimana Uganda (Africa), saya cadangkan kita kena ada semangat hendak ikut atau belajar cara mereka tangani pandemik ini.

Ini apa yang Dr Ramji, iaitu doktor yang handle Covid-19 di sini kongsikan kepada saya;

(i) Apa yang doktor di sini belajar pada first wave Covid-19 melanda negara mereka ialah, “Sakit Covid-19 ini tidak seteruk yang dicanangkan oleh Barat”. Sekarang, seluruh dunia fokus pada berapa jumlah kematian.

Di Uganda, mereka tidak announce di TV atau radio mengenai berapa jumlah kematian sehari, sekadar announce di sosial media. Siapa mahu lihat boleh lihat. Tetapi ramai tidak kisah untuk tahu, semua keluar bekerja macam biasa, tiada lockdown tetapi ada had masa keluar rumah iaitu sehingga jam 9 malam sahaja.

(ii) Di Uganda, tiada test Covid-19 untuk kanak-kanak kerana terbukti kanak-kanak boleh pulih selepas dijangkiti Covid-19. Tiada test Covid-19 untuk kanak-kanak sekiranya bergejala, sekadar diberi ubat yang perlu dan self-quarantine.

Bagi mereka, test Covid-19 pada kanak-kanak hanya akan membuatkan mereka trauma. (Awak pernah berapa kali kena jolok buat test Covid-19? Saya rasa sudah hampir 10 kali akibat kerja saya keluar masuk Uganda, Ghana, South Sudan dan kerana itu saya kata juga ‘NO’ untuk Covid-19 test/swab dibuat pada budak-budak). 

(iii) Apabila berlakunya first wave Covid-19 di Uganda, doktor mereka juga panik, tetapi mereka belajar, “panik dan lockdown” tidak boleh dibuat lama-lama. Masa first wave, doktor di sini juga pakai full PPE, dan pesakit Covid-19 di rumah diambil (dibawa ke hospital) dengan ambulan. Tetapi semua itu tidak lagi dilakukan.

Kalau tahu anda sakit dan mempunyai simptom, mereka galakkan datang sendiri ke hospital melainkan langsung tidak boleh bangun. Pendapat doktor mereka, kalau asyik mengangkut dan ‘mengehadkan pendedahan rakyat mereka untuk dijangkiti, herd immunity sukar terbentuk.

Banyak kes pesakit terkena Covid-19 di sini, datang hospital mengambil ubat dan kemudian pulang ke rumah berehat untuk dua tiga hari dan terus sambung bekerja macam biasa dalam keadaan Covid-19. Kemudian mereka jangkitkan kepada orang lain dan orang lain dan seterusnya…

Tetapi kesannya, pada second wave (sekarang mereka sedang second wave tanpa lockdown), angka yang datang ke hospital dan direkodkan terjangkit tidak seteruk first wave. Ini kerana, doktor kata ada kemungkinan herd immunity sudah wujud dalam populasi mereka.

(iv) Doktor (di Uganda) kata, CNN pernah buat report menuduh bahawa negara Africa “under-reporting” kes Covid-19. Tetapi, doktor kata, mungkin betul under-reporting kerana ramai di kalangan mereka bila bergejala, demam dan batuk, cukup sekadar ambil ubat batuk dan demam, kemudian self-quarantine atau pergi bekerja seperti biasa.

Tetapi angka kematian tidaklah “under-reporting”, kerana rata-rata yang sakit tenat akibat Covid-19 tetap datang ke hospital sebelum mereka direkodkan mati akibat Covid-19.

Angka kematian di Uganda akibat Covid-19 sehingga hari ini adalah kurang 400 orang, di mana populasi rakyat mereka hampir sama dengan Malaysia iaitu 38 juta.

(v) Doktor kata lagi, sekarang, siapa yang terkena Covid-19, jika pilih untuk duduk di hospital, ahli keluarga dibenarkan melawat untuk bagi sokongan moral dan emosi (psikologi support). Bahkan boleh tunggu. Boleh datang bercakap dan bergurau, dengan syarat pakai pelitup muka dan social distancing.

Semalam saya luahkan pendapat pada doktor dan tanya sekiranya dia setuju dengan pendapat saya iaitu;

Saya kata kalau sekarang kita sudah tahu apa gejala Covid-19, maka tidak perlulah kita buat test (swab) banyak-banyak pada suspek setiap hari untuk keluarkan angka (mereka yang dijangkiti).

Angka hanya menakutkan orang ramai. Sepatutnya bila kita sudah ada informasi atau pengetahuan tentang simptom, dapatkan sahaja rawatan dan ikuti nasihat doktor, serta self-quarantine. Sekiranya teruk barulah datang ke hospital bagi mengelakkan bersesak-sesak di hospital. 

Doktor kata, ya, angka hanya menambah panik dan membuatkan rasa takut. Ini kerana negara Afrika percaya, “This disease is not as bad as being potrayed by the western and most of us now trust only them to be referred”.

Selama saya sakit Covid-19 di Uganda, kawan saya masih datang melawat memberi sokongan moral. Mereka pakai double mask, social distancing dan sanitize sebelum dan selepas keluar bilik rawatan saya. Bahkan doktor tidak pakai full PPE dan tidak jarakkan diri dari saya, dan masih memegang tangan saya sekiranya perlu untuk beri semangat.

Doktor kata, “If we can conquer the fear, then we can conquer the disease” – Psikologi sangat penting untuk pesakit. Kalau doktor panik, pesakit akan panik. Salah satu sebab doktor di Uganda (Afrika) tidak memakai full PPE adalah untuk elak pesakit rasa penyakit ini terlalu bahaya jadi mereka akan takut. Maka panik yang tidak perlu sebegini perlu dielakkan. 

Berbalik kepada cerita ayah saya di tahan di hospital sebab Covid-19, beliau juga ada penyakit lain iaitu diabetes, (diabetes abah tidak teruk, masih dirawat dan mohon doa untuk semua yang terkena Covid-19 agar sembuh).

Mungkin situasi kami berbeza juga untuk handle kerana anak-anak semua berjauhan tetapi bila kami cuba dapatkan nasihatkan untuk merentas negeri, polis kata lain, hospital kata lain, kamipun pening. Keputusan kami jadi sedikit tidak produktif kerana menunggu keserasian jawapan daripada kedua-dua belah pihak.

Pendapat saya sebagai individu yang terkena Covid-19 di Uganda, saya merasakan yang kita di Malaysia kena belajar untuk hidup dengan Covid-19 dan kurangkan panik.

Kita perlu belajar untuk faham apa sebenarnya yang boleh dan tidak boleh dalam SOP kerana SOP terlalu rigid dan tidak semua SOP sesuai untuk keadaan tertentu bagi setiap orang atau setiap keluarga.

Pihak tertentu perlu bantu mengikut situasi kerana ini turut melibatkan psikologi – sokongan emosi dari ahli keluarga yang sakit di mana saya kira perlu diimbang supaya pesakit juga tidak panik dan boleh cepat sembuh.

Selain itu ia juga boleh mengurangkan penat kakitangan atau frontliners di hospital (malangnya masalah orang Malaysia kita, ramai juga yang degil, kalau sudah ada gelang pink, mereka tetap mahu merayap).

Kita sudah hampir dua tahun di Malaysia dalam keadaan begini, kalau masih begini untuk tahun-tahun seterusnya saya risau kita tidak belajar untuk “live with the disease” tetapi sekadar hanya mahu ambil “reactive measure”, tetapi kita tidak fokus pada “proactive measure”.

Maaf pendapat peribadi saya mungkin tidak valid, tetapi pengalaman sakit Covid-19 di Uganda dan melihat ahli keluarga saya di Malaysia terpaksa berdepan dengan beberapa pihak membuatkan saya meluahkan isi hati dan menulis perkara ini. Saya tidak mahu kita terus berada dalam keadaan “reactive mode”, kerana saya sayang negara ini, mahu Malaysia yang cergas dan aktif seperti dahulu!

Dan saya faham, kita di Malaysia sewaktu pertama kali diserang pandemik kita tidak berapa mahir mengurus tetapi kita tidak boleh biar untuk terus berada dalam keadaan ‘panic’ selama beberapa tahun akan datang. Masyarakat kita juga akan tertekan.

Bolehkah kalau saya cadang kita kaji apa yang Afrika buat dalam mengurus pandemik ini dan bukan semata-mata mengikut “dasar pandang ke Barat” sahaja sewaktu mengurus Covid-19 ini?

Tambahan di tulisan ini, selain pengalaman saya di sini, saya lampirkan artikel daripada BBC mengenai kenapa ancaman pandemik di Afrika dilihat “less deadly”. Rujuk pautan;

https://www.bbc.com/news/world-africa-54418613

Tulisan BBC ini tidak jauh berbeza dengan hasil pemerhatian saya untuk 1-2 point yang pernah ditulis sewaktu menerima rawatan Covid-19 di Uganda. 

Rujuk pautan;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2885222858400479&id=100007383784757

Dan jangan anggap doktor di sini tidak pakai PPE kerana negara mereka miskin dan PPE tidak cukup. Perkara tersebut tidak benar sama sekali. Mereka mungkin miskin di mata kita, tetapi mereka kaya dengan “pengalaman pandemik”. 

Nota: Gambar saya dirawat oleh doktor sewaktu terkena positif Covid-19 di Kampala, Uganda. Sekarang, saya sudah sihat dan negatif Covid-19.

Saya mohon anda semua share posting saya ini semoga sampai cadangan ini kepada pihak tertentu untuk difikirkan. Bukan senang boleh “gelabah positif Covid-19” di Afrika dan bukan senang dapat tengok KETENANGAN mereka hadapi pandemik ini.

#norajanediUganda

Oleh Nora Jane Yi-Linn Kaur

Sehubungan itu semoga saranan beliau ini dapat dipanjang-panjangkan ke pihak yang berkaitan untuk dikaji dan jika sesuai ia boleh dilaksanakan, selain daripada pelan vaksinasi yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

Apa yang penting segala penyakit, kesakitan dan kesembuhan datangnya daripada Allah dan hanya kepadaNYA kita berusaha, berserah dan bertawakal, In sha Allah.

Jika kita berusaha menjaga diri dengan mengambil vaksin, janganlah yakin vaksin yang menyembuhkan atau memberi manfaat kepada kita sebaliknya segala-galanya berlaku dengan izin Allah.

Begitu juga jika ada yang berpandangan tidak mahu mengambil vaksin pula, juga jangan yakin bahawa jika mengambil vaksin itulah yang memudaratkan dan tidak mengambilnya maka anda selamat. Sebaliknya yang memberi mudarat atau manfaat dan keselamatan itu semata-mata daripada Allah SWT.

Perlu diingat, dalam sebuah mafhum hadis, apa yang berlaku telah Allah tetapkan dan apa yang tidak ditetapkan Allah, pasti dan pasti tidak akan berlaku.

Wallahualam.

Sebagai rekod, ayahanda tercinta Nora Jane telah kembali ke rahmatullah pada 4 Jun 2021.

Rujuk pautan;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2895582270697871&id=100007383784757

Innalillahiwainnailaihirojiun, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here