[Video] Langgar SOP, 37 dikompaun solat berjemaah di Surau Mukim Chetok

34
0

PASIR MAS: Seramai 37 jemaah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) selepas menunaikan solat berjemaah di dua surau dalam Mukim Chetok, Tok Uban, di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, semua individu berusia 20 hingga 70 tahun itu didapati ingkar SOP sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebanyak 28 saman dikeluarkan di masjid pertama yang diserbu, manakala sembilan lagi diberikan kepada jemaah di surau berlainan pada hari yang sama.

“Mereka dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, selain menunaikan solat Isyak berjemaah, walaupun sudah sedia maklum ia tidak dibenarkan sepanjang PKP ini.

“Tindakan berkenaan sekali gus melanggar SOP termasuk dari segi penjarakan fizikal yang bukan sahaja membahayakan, malah memberi risiko kepada penularan wabak COVID-19.

“Masyarakat sepatutnya mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama, terutama untuk mengekang kenaikan jumlah mangsa COVID-19 yang semakin membimbangkan terutama di Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan individu yang ditahan, berselawat di atas trak ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Mohd Nasaruddin berkata, terdapat juga jemaah terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun namun polis hanya memberi nasihat memandangkan mereka di bawah umur.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan membabitkan pelanggaran SOP, terutama di sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh bermula hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here