KUFC buka talian hotline, pusat pemantauan COVID-19 pegawai dan pemain

16
0

Kelantan United FC (KUFC) membuka talian hotline dan pusat pemantauan COVID-19 bagi memantau serta menerima laporan berhubung pandemik tersebut dalam kalangan pegawai, jurulatih dan pemain pasukan berkenaan.

Pengarah Eksekutif KUFC Sdn Bhd Anas Karimi Ahmad Thani berkata pihaknya menitikberatkan keselamatan pemain dan pegawai pasukan ketika jangkitan virus tersebut semakin menular di Kelantan dan Malaysia amnya.

Beliau berkata langkah tersebut hasil cetusan idea Presiden KUFC Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

“Inisiatif itu memudahkan kami menyalurkan hebahan atau maklumat segera daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua pihak di KUFC.

“Kita yakin pemain dan pegawai sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan MFL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anas Karimi berkata presiden kelab sentiasa menekankan agar pihak syarikat tetap menjaga kebajikan pemain dan pegawai.

Justeru, menurut beliau KUFC Sdn Bhd yakin apa yang dilaksanakan itu akan memudahkan pihak syarikat mengenal pasti dengan segera jika ada dalam kalangan warga kelab dijangkiti wabak tersebut.

“Kami mohon pemain dan pegawai segera melaporkan kepada syarikat sekiranya mereka atau kalangan ahli keluarga terdekat disahkan positif. Mereka perlu lapor dan bersikap telus dan jujur kepada pihak majikan mereka iaitu Kelantan United FC Sdn Bhd.

“Langkah itu memudahkan pihak syarikat untuk menyalurkan bantuan jika perlu. Selain itu, kita juga dapat merujuk kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan susulan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here