Hakim, timbalan pendakwa raya, peguam hadapi tuduhan bersama terima suapan RM17,500

SHAH ALAM: Seorang hakim, Timbalan Pendakwa Raya dan peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan secara bersama menerima suapan RM17, 500.

Ia sebagai upah supaya hakim berkenaan hanya mengenakan denda terhadap tujuh warga asing yang melakukan kesalahan Imigresen, pada Julai lalu.

Azmil Muntapha Abas, 45, yang sebelum ini Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu; Khairul Azhwa Yusrie, 32, yang juga bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya di mahkamah sama serta peguam, Noor Amirul Nazreen, 31, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, antara jam 9.30 pagi hingga 2.45 petang pada 17 Julai lalu di mahkamah berkenaan.

Azmil yang kini bertugas sebagai pegawai undang-undang di Istana Kehakiman di Putrajaya, turut didakwa mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 atas menerima suapan bernilai RM5,000 untuk menjatuhkan hukuman denda kepada enam lelaki yang melakukan kesalahan mengikut Akta Rumah Judi 1953, Mei tahun lalu.