HomeBERITAGesaan PRU Awal Tak Bertanggungjawab - KJ

Gesaan PRU Awal Tak Bertanggungjawab – KJ - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Gerakan terancang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 sebelum wabak COVID-19 berupaya dikawal, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata percaturan yang mementingkan diri sendiri itu, tidak sewajarnya dilakukan.

“Mereka yang menuntut supaya PRU diadakan sebelum pandemik dapat dikawal sepenuhnya ialah tindakan tidak bertanggungjawab.

“Dan saya tahu antara yang minta PRU segera ialah mereka daripada parti saya sendiri.

“Jangan pentingkan diri sendiri,” katanya menerusi kenyataan di Twitter, @Khairykj, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Ahad lalu dilaporkan berkata parti itu mahu supaya PRU-15 diadakan dengan segera bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan baharu yang berjaya memperoleh mandat rakyat.

Ahmad Zahid berkata, banyak negara lain mengadakan pilihan raya dalam wabak COVID-19, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menegaskan bahawa keterbukaan untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet ialah isu berbeza, berbanding gesaan mengadakan PRU-15.

“Dua isu berbeza,” katanya ringkas dengan menyertakan dua tangkap layar status yang pernah dimuat naik di Twitter, berhubung isu berkenaan.

Selepas memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam, Khairy dilaporkan sedia melepaskan jawatannya dalam Kabinet, jika diarahkan UMNO.

Sebagai ahli parti, katanya, beliau terikat dengan keputusan parti, khususnya apabila percaturan sedemikian dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual mengadakan mesyuarat, malam ini. – BH Online

HomeBERITAGesaan PRU Awal Tak Bertanggungjawab - KJ

Berkaitan

POPULAR