HomeBERITAFGV Laksana Langkah Sewajarnya Dalam Pembatalan WTO

FGV Laksana Langkah Sewajarnya Dalam Pembatalan WTO - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd memberi komitmen yang tinggi serta mengambil langkah sewajarnya dalam usaha membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) sejak petisyen dikemukakan mengenai dakwaan menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produk sawit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pada 8 Oktober 2020, FGV telah berkomunikasi dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) melalui panggilan persidangan untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan itu dan langkah-langkah yang harus diambil untuk pembatalan WRO.

“Bagaimanapun, pihak CBP tidak dapat mendedahkan maklumat yang ditemui dan tidak mendedahkan sebarang maklumat lain mengenai hasil siasatannya termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut.

“Namun, CBP memaklumkan kepada FGV bahawa ia akan mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO bersama-sama dengan maklumat atau laporan yang terhasil daripada audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai, dan tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai usaha kerajaan untuk menangani dakwaan AS terhadap FGV Holdings Bhd menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produk sawit.

Pada masa yang sama, Mustapa berkata FGV kini sedang berkomunikasi dengan beberapa organisasi bebas untuk mencari pilihan dalam menjalankan audit bagi operasi FGV pada masa akan datang.

“FGV juga telah mengambil tindakan untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia,” katanya. 

Antara usaha yang dlakukan FGV termasuk melaksanakan pembayaran gaji tanpa tunai secara dompet elektronik bagi pekerja-pekerja ladang menerusi aplikasi mudah alih Merchantrade Money di bawah Merchantrade Asia Sdn Bhd.

Ia menyasarkan untuk melaksanakan sistem ini ke seluruh sektor perladangannya termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang suku pertama 2021.

Mustapa berkata, FGV juga telah melabur hampir RM350 juta bagi menaik taraf kemudahan perumahan dengan membina kediaman baharu di ladang-ladang di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

FGV turut menubuhkan empat pusat sehenti di Malaysia dan di negara sumber seperti India dan Indonesia, bagi memperkukuhkan program orientasi sebelum pelepasan dan ketibaan pekerja migran dimana pekerja migran diberikan penerangan mengenai pelbagai perkara termasuk syarat pekerjaan mereka, skop pekerjaan dan sifat pekerjaan, hak dan tanggung jawab serta faedah dan kelayakan.

“FGV komited untuk menanggung kos yang berkaitan dengan pengambilan pekerja migran yang meliputi permit kerja, visa, pemeriksaan kesihatan serta insurans. FGV juga telah menyemak semula kontrak dengan agensi pengambilan pekerja bagi memastikan tiada sebarang bayaran dikenakan ke atas pekerja terbabit,” katanya.

Beliau berkata FGV juga menghormati hak pekerja menerusi manfaat kesihatan yang disediakan termasuk menanggung perbelanjaan tahunan bagi rawatan pesakit luar selain peruntukan tanpa had untuk rawatan di hospital.

“FGV tidak mengamalkan penyimpanan pasport pekerja, malah telah menyediakan sebanyak 32,250 peti simpanan pasport di seluruh 68 kompleks sebagai langkah pilihan kepada pekerja untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat,” katanya.

FGV turut mengambil inisiatif mewujudkan 11 Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Sahabat dan Kinabatangan, Sabah dengan melabur sebanyak RM5 juta bagi projek CLC berkenaan sebagai pusat pembelajaran alternatif bagi anak-anak pekerja ladang warga Indonesia yang merupakan sebahagian besar pekerja ladang FGV di Sabah. – BERNAMA

HomeBERITAFGV Laksana Langkah Sewajarnya Dalam Pembatalan WTO

Berkaitan

POPULAR