HomeBERITAFahami Kaedah Islam Tentukan Halal, Haram Vaksin

Fahami Kaedah Islam Tentukan Halal, Haram Vaksin - huluselangor.com

KETIKA Malaysia menunggu ketibaan bekalan vaksin COVID-19 dijangka bulan depan, masih ada pihak cuba mempertikaikan keabsahan dan kehalalan vaksin itu.

‘Suara sumbang’ seolah-olah mempertikaikan tindakan kerajaan biarpun dilihat langkah terbaik dalam situasi global penuh mencabar.

Antara alasan diulang pakai golongan antivaksin terutama di laman media sosial ialah bahan digunakan diambil daripada unsur haram untuk umat Islam seperti DNA babi, konspirasi jahat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengurangkan dan mengawal penduduk dunia serta pelan jutawan, Bill Gates menjayakan ‘plandemik’. 

Dakwaan berat golongan ini sedikit sebanyak menggusarkan orang ramai terutama umat Islam yang sedia maklum agama melarang penggunaan benda haram.

Masih ramai tidak tahu kaedah fiqh berkaitan isu penyucian bahan dalam vaksin dikenali sebagai istihalah dan istihlak.

Pendakwah, Dr Abdul Rahman A Shukor menegaskan isu berkaitan penggunaan unsur haram dalam vaksin sudah lama dibincangkan ulama sejak dahulu, bahkan ia isu sudah diselesaikan kerana banyak fatwa tempatan dan antarabangsa dikeluarkan.

Beliau berkata, konsep istihalah dan istihlak boleh diaplikasikan dalam fatwa semasa berkaitan isu kehalalan vaksin.

“Istihalah ialah proses semula jadi memberikan kesan perubahan hukum (daripada haram ke halal) kerana berubah zatnya, iaitu bahan daripada sumber haram berubah struktur kimia dan ciri fizikalnya kepada suatu unsur dan sifat lain.

“Hukumnya halal dan suci yang juga menjadi pandangan mazhab Hanafi dan dipersetujui ulama seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh Wahbah al-Zuhaili.

“Konsep istihlak pula ialah sedikit bahan haram bercampur dengan bahan suci berlipat kali ganda sehingga menghilangkan sifat dan ciri asal terkandung dalam bahan itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, bahan itu sudah rosak sifat dan ciri asalnya, walaupun zatnya kekal seperti mencampurkan setitis arak ke dalam air, sekali gus menjadikan istihlak mempunyai kesan hukum sama seperti istihalah.

Beliau yang juga Penasihat Shariah Institusi Perbankan Islam berkata, kaedah asal mengikut hukum Islam ialah vaksin jika dihasilkan daripada benda suci dan tidak memudaratkan manusia, tidak timbul isu syariah.

Katanya, ia harus digunakan sebagai langkah pencegahan daripada penyakit berjangkit atau wabak boleh membawa risiko kematian.

Namun, jika vaksin mempunyai atau bercampur dengan unsur haram, Abdul Rahman menjelaskan ia terbahagi dua kategori hukum.

“Pertama, jika ada vaksin lain lebih suci dan diyakini sumbernya, vaksin yang ada unsur haram tidak boleh digunakan.

“Kedua, jika tiada vaksin alternatif suci, tetapi keadaan bersifat darurat menyelamatkan nyawa, vaksin yang ada unsur haram dibenarkan kerana menjaga nyawa, iaitu antara maqasid (tujuan) syariah,” katanya.

Beliau membawa contoh kes diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) berhubung hukum menggunakan Vaksin Meningococcal Meningitis Mencevax diambil daripada sumber lembu sebagai harus, manakala Vaksin Meningococcal Miningitis Menomune mengandungi unsur bovine (lembu); porsin (babi) dan avian (itik) adalah haram.

Namun, beliau menjelaskan terdapat kajian semula terhadap Vaksin Meningitis Menomune dengan menjelaskan formulasi dan proses terbaru dalam penghasilan vaksin itu bebas daripada sumber haiwan sehingga Muzakarah MKI memutuskan penggunaannya diharuskan, manakala fatwa terdahulu dibatalkan.

“Kita ambil contoh terkini, Malaysia bakal mengimport vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer. Difahamkan vaksin ini diperbuat daripada mRNA (vaksin tidak menggunakan virus hidup daripada COVID-19) dan tidak terbabit dengan unsur haram. Tidak timbul dakwaan vaksin COVID-19 diperbuat daripada unsur haram.

“Lagipun dalam pembuatan vaksin juga berlaku penyaringan, penyucian dan pemurnian berulang kali sehingga bahan asal tidak dapat dikesan pada peringkat akhir vaksin. Unsur asal haram tidak lagi menjadi kandungan bagi vaksin.

“Oleh itu, rakyat tidak perlu bimbang dengan pelbagai dakwaan terhadap kononnya unsur haram dalam vaksin kerana MKI mengeluarkan pelbagai fatwa daripada aspek hukum dengan jelas sekali,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Murshidi Mohd Noor, berkata majoriti ulama kontemporari berpandangan istihalah daripada khinzir masih dibolehkan dengan syarat proses berlaku dengan sempurna dan mengubah zat asalnya kepada zat lain.

“Namun, jika proses istihalah diragui akan keberhasilannya seperti proses perubahan zat asal tidak berlaku dengan lengkap, maka ia tidak dibolehkan.

“Perkara ini bergantung kepada proses istihalah berlaku sama ada lengkap atau tidak menerusi ujian makmal.

“Mereka juga berpandangan, keharusan ini sebenarnya bagi memudahkan orang ramai masa kini menggunakan banyak bahan mengandungi gelatin untuk pemakanan atau perubatan,” katanya.

Mohd Murshidi berkata, berdasarkan maklumat sedia ada, semua vaksin COVID-19 tidak mengandungi kandungan berunsur porcine atau bovine, sekali gus tidak timbul vaksin berkenaan tidak boleh digunakan umat Islam, jelasnya. – BERNAMA

HomeBERITAFahami Kaedah Islam Tentukan Halal, Haram Vaksin

Berkaitan

POPULAR