Episod kelam-kabut banjir berulang lagi

0
387
Episod kelam-kabut banjir berulang lagi

PENULIS bukan pakar mengenai banjir tetapi penulis lahir dan dibesarkan di perkampungan yang berbentuk tanjung iaitu di depan sungai dan di belakang juga sungai.

Saban tahun pada musim tengkujuh, jika hujan berterusan air keruh di bahagian hulu akan turun dengan laju dan apabila bertembung dengan air laut yang pasang maka air sungai akan melimpah ke darat.

Kadang-kadang air naik pada paras buku lali (atas jalan raya), kadang-kadang paras betis. Masa ini kanak-kanak akan berpesta air. Dari pagi sampai petang berendam dalam air.

Jarang-jarang akan berlaku air naik paras pinggang. Ketika ini, separuh penduduk akan berpindah ke pusat pemindahan kecuali yang kediaman mereka di kawasan tanah tinggi atau memiliki struktur rumah yang tinggi serta telah bersiap sedia dengan sampan dan bot masing-masing.

Biasanya ketika paras lutut adalah tanda berjaga-jaga. Penduduk telah berkemas barang-barang penting dan berharga. Kenderaan seperti kereta, motosikal, lori dan sebagainya semua telah dipindahkan. Tidak ada orang akan menunggu saat akhir untuk selamatkan diri dan harta.

Ketika ini lori-lori 10 tan milik majlis daerah berulang-alik masuk ke kampung untuk mengangkut penduduk kampung berpindah. Tidak perlu dikerah bantuan bomba, Jabatan Pertahanan Awam atau bot tentera. Banjir terburuk di tempat lahir penulis adalah sekitar awal 1980-an dan 2013 apabila air tenggelamkan sehingga ke bumbung rumah-rumah penduduk.

Proses pemindahan dan pengurusan di pusat pemindahan semua tersusun. Adalah sedikit yang merungut dan tidak berpuas hati. Itu biasa. Tiada yang sempurna ketika bencana.

Malang bagi penduduk di Shah Alam, Hulu Langat, Sepang serta beberapa kawasan lain apabila penduduk di sini terpaksa berdepan banjir yang tidak disangka-sangka. Apabila dinamakan bencana sememangnya suatu yang tidak terjangka dek akal.

Namun, lebih malang apabila kita yang tinggal di sebuah negara yang saban tahun berdepan fenomena banjir ini seolah-olah tidak mempunyai pelan tindakan pengurusan untuk menghadapi keadaan di luar jangka itu.

Jika Kelantan, Terengganu serta Johor pernah berdepan bencana banjir besar sehingga keadaan menjadi huru-hara dan kelam-kabut ketika itu. Mengapa tidak pengalaman tersebut dijadikan panduan bagi semua negeri-negeri lain agar kita mempunyai pelan tindakan standard bagi menguruskan bencana dan membantu mangsa banjir.

Sepatutnya pemimpin setempat baik di peringkat lorong, jalan, taman, kampung dan mukim didedahkan dengan pelan tindakan berserta latihan pengurusan bencana sebab mereka lebih maklum jumlah penduduk dan struktur di kawasan tersebut jika berlaku sesuatu petaka dan kecemasan.

Bertambah malang jika pelan tindakan seperti ini masih diambil ringan untuk masa akan datang. Akhirnya memperlihatkan seperti semua pihak daripada peringkat bawah hingga ke atas tidak bersedia. Jika begini cara kita, tunggulah masa kelam-kabut itu berulang dan berulang lagi.

Original Article

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.