Empat anggota ‘Kumpulan Sree’ ditembak mati

14
0

SEPANG – Empat lelaki bersenjata ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis di kawasan parkir sebuah kondomium di Cyberjaya hari ini, beberapa jam selepas melakukan jenayah samun di Cheras.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, empat lelaki bertindak menyerang polis dengan parang serta melepaskan tembakan ketika polis hendak memeriksa kenderaan Mercedes Benz yang dipercayai dicuri di Cheras.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, keempat-empat penyamun bertopeng berumur antara 29 dan 45 tahun itu merupakan anggota ‘Kumpulan Sree’ yang memecah masuk sebuah kediaman di Taman Segar Perdana, Cheras pada kira-kira 6.00 pagi hari ini.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Kontinjen Selangor telah menjejaki suspek ke lokasi kejadian (Kondominium Residen Skypark) di Cyberjaya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.

Menurutnya, ketika polis hendak memeriksa kenderaan Mercedes hitam yang dipercayai kenderaan curi, salah seorang suspek keluar dari kereta jenis Volkswagen Passat yang terletak bersebelahan dan cuba menyerang polis menggunakan parang.

Noor Azam berkata suspek lain kemudiannya turut melepaskan tembakan dan menyebabkan polis juga melepaskan tembakan ke arah suspek, dan kesemua mereka mati di tempat kejadian termasuk tiga di dalam kenderaan Mercedes.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu terlibat dalam 31 kes jenayah di Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan jenayah curi, samun berkawan dan dadah.

“Modus operandi kumpulan itu ialah melakukan samun dalam rumah di awal pagi dengan masuk dan mengikat mangsa sebelum melarikan barang berharga termasuk kenderaan milik tuan rumah. Tiga daripada suspek berasal dari Kajang, Selangor; Cheras, Kuala Lumpur dan Johor manakala seorang lagi belum dapat dipastikan,” katanya.

Noor Azam berkata, sepucuk revolver dan pistol jenis baretta, tiga bilah parang dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang serta barangan berharga ditemui di tempat kejadian. – BERNAMA