HomeBERITADoktor gigi haram didenda RM50,000

Doktor gigi haram didenda RM50,000 - huluselangor.com

KUALA TERENGGANU: Masih ramai kalangan warga tempatan dikesan menawarkan kegiatan sebagai doktor gigi haram tanpa tauliah di negara ini.

Terbaru seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat sebagai doktor gigi haram.

Tertuduh, Zulhaffiz Zarriq Mohd Nor, 33, dijatuhi hukuman itu oleh hakim Noriah Osman selepas tertuduh mengaku melakukan kesalahan terhadap tuduhan pertama mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] yang membawa hukuman denda RM35,000.

Tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM15,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar dengan KKM.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Khadijah Wahab.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai Unit Penguatkuasaan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dibantu dua anggota polis Balai Polis Kuala Terengganu melakukan serbuan terhadap sebuah premis di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 27 September tahun lalu.

Serbuan dilakukan susulan maklumat premis itu menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan dan dikendalikan oleh individu tidak berkelayakan.

Ketika serbuan, tertuduh didapati sedang menjalankan rawatan pergigian iaitu pemasangan braces ke atas seorang pelanggan.

Tertuduh gagal mengemukakan bukti premis itu adalah klinik pergigian swasta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan dia pengamal berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

Penggeledahan menemui pelbagai peralatan pergigian yang digunakan untuk menjalankan rawatan braces.

Peralatan pergigian itu dirampas dan disenaraikan dalam senarai bongkar.

Pada Oktober lalu, seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM62,000 atau penjara setahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengamal dan menjalankan kegiatan klinik pergigian secara haram.

Tertuduh, Nur Aqila Ahmad Sabri, 29, dijatuhi hukuman itu oleh hakim, Effandi Nazila Abdullah di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, Selangor.

Dia dituduh mengikut Seksyen 4(1) kerana menyediakan klinik pergigian tanpa berdaftar di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988.

HomeBERITADoktor gigi haram didenda RM50,000

Berkaitan

POPULAR