Diejek konon kahwin Orang Asli kena tinggal dalam hutan, panjat pokok petai

82
0

Wanita ini tambat hati mentua dengan daun pijat
PERNAH menjadi mangsa usikan nakal pemuda Melayu hanya kerana dirinya berstatus Orang Asli, wanita ini tidak pernah menyangka akan dipertemukan jodoh dengan lelaki keturunan itu.

Berkongsi cerita, Nurnesa Abdullah, 41, berkata memang lumrah wujudnya segelintir masyarakat yang masih memandang rendah kepada komuniti Orang Asli.

Menceritakan pengalamannya, Nurnesa berkata, walaupun kejadian itu berlaku lebih dua dekad lalu, namun ia masih segar di ingatannya.

“Ada satu peristiwa yang memang saya ingat sampai sekarang. Ia berlaku semasa saya bujang dahulu.

“Waktu itu saya bekerja di bandar. Ada satu hari, adalah sekumpulan anak muda Melayu mengusik saya. Dalam ramai-ramai, ada seorang berkata kepada kawannya, Eh kau kenapa usik anak Orang Asli? Kau tak takut ke kalau kahwin dengan dia nanti kena duduk hutan, larat ke nak panjat pokok petai?

“Tapi siapa sangka, jodoh saya rupanya dengan orang Melayu. Bukan dengan pemuda yang usik tu, tapi dengan orang lain,” ujarnya ketawa kecil.

Tambat hati mentua dengan daun pijat

Nurnesa yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Gabong, Bentong, Pahang mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang menetap tidak jauh dari kampungnya.

Hasil perkongsian hidup selama 20 tahun dengan Roslan Meli, mereka dikurniakan empat anak dan kini mempunyai seorang cucu.

Ditanya bagaimana penerimaan keluarga mentua, Nurnesa berkata dirinya bertuah kerana diterima baik sekalipun berasal dari keturunan yang berbeza.

“Keluarga mentua mula-mula macam kurang senang, tapi mereka tidaklah tunjukkan sangat. Namun saya cuba mengambil hati dan melayan mereka seperti keluarga sendiri. Kalau mereka bertandang ke rumah saya di Sungai Gabong, saya akan menghidangkan masakan tradisi kami.

“Tidak sangka, rupa-rupanya keluarga saya menggemari hidangan yang dicampur dengan daun pijat. Setiap kali mentua atau ipar duai datang, mereka akan tanya, mana masakan daun pijat,” ceritanya sambil tersenyum.

Ketika ditanya bagaimana suaminya menyesuaikan diri dengan budaya Orang Asli di kampung, ujar Nurnesa, suaminya mengambil sedikit masa sebelum benar-benar biasa.

“Mula-mula masuk kampung kami dia kekok sebab dia Melayu. Kampung pula banyak anjing, tapi lama-kelamaan dia boleh biasakan. Sama macam saya juga bila masuk kampung Melayu.

“Dari segi pergaulan pula, mula-mula dia tak faham bahasa Temuan, tapi lama-lama biasa, lagipun tak jauh beza sangat,” katanya.

Pentingkan pendidikan anak

Bercerita lebih lanjut, Nurnesa berkata dia sering menerapkan kepada anak-anaknya mengenai kepentingan pendidikan.

“Saya selalu beritahu anak, kita tak perlu malu walaupun kita Orang Asli kerana kita juga orang Malaysia. Kita kena bergaul dengan orang, boleh bersekolah, boleh bekerja.

“Pendidikan itu penting. Sebab kita banyak menggunakan bahasa sendiri, bahasa Temuan. Jadi kena bersekolah supaya dapat belajar bahasa dan pelajaran lain.

“Sekarang ni nak dapat kerja pun susah kalau tak sekolah. Akak selalu pesan, belajar elok-elok nanti senang dapat kerja. Takkan nak menoreh macam mak dan ayah,” katanya mengakhiri bicara.