Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo berkata parti itu berhasrat untuk bertanding kerusi parlimen tambahan dan dua kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Tiga kerusi yang ditandingi Bersatu sebagai sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 ialah kerusi Parlimen Tanjung Karang serta kerusi DUN Semenyih dan Selat Klang.
Bersatu tewas Tanjung Karang kepada Noh Omar dari Umno tetapi memenangi dua kerusi DUN. Semenyih kemudiannya tewas dan diraih Umno dalam pilihan raya kecil berikutan kematian Bakhtiar Mohd Nor.
Menurut Gobind, parti itu kini sedang berbincang dengan sekutunya dalam PH Selangor berhubung perkara ini.
“Jika kami diberi peluang untuk bertanding di kerusi itu, kami perlu memastikan kami boleh memenangi kesemua 18 kerusi (di Selangor).
“Semasa PRU 2018, kita memenangi semua 16 kerusi yang kita tandingi, kita mesti menang semua juga dalam pilihan raya akan datang,” kata Gobind kepada lebih seribu wakil parti dalam kongres tahunan DAP Selangor.
Kongres yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu dihadiri 1,116 perwakilan daripada 218 cawangan seluruh negeri.
Para perwakilan juga akan memilih pemimpin negeri mereka hari ini. Di antara 51 calon yang bertanding dalam pemilihan, hanya 15 pemimpin akan dipilih untuk tiga tahun akan datang.
Pemilihan peringkat negeri dijangka sengit kerana dilaporkan bahawa penyandang jawatan pengerusi, Gobind akan dicabar oleh penyandang setiausaha kerajaan negeri Ronnie Liu dan pasukannya.
Selain itu, Gobind mengingatkan ahli parti bahawa PRU ke-15 mungkin akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan ketidakstabilan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sekarang.
Dia merujuk kepada pertembungan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional dan PH pada PRN Melaka.
Sambil menekankan kepentingan kerjasama dengan sekutu dalam PH untuk memenangi pilihan raya umum, Gobind berkata DAP mesti mengekalkan prinsipnya.
“Ia penting kerana itulah yang dinilai rakyat,” kata Gobind.
Tambahnya, DAP bersedia untuk menyokong akta antilompat parti di parlimen dan menegaskan parti itu tidak akan menyokong tindakan lompat parti dan tidak akan mengalu-alukan ‘pengkhianat’.
Dia juga menggesa ahli parti untuk bersatu dan memberi sokongan kepada kepimpinan parti, supaya parti dan PH dapat mengekalkan kuasa di Selangor dan berkembang ke negeri lain serta kerajaan persekutuan.
Gobind berkata parti itu perlu memikirkan strategi baharu untuk menyampaikan mesej kepada pengundi apabila bertanding di bawah keadaan terhad susulan pandemik Covid-19.
“Mengukuhkan interaksi dengan pengundi muda adalah penting memandangkan Undi 18 akan dilaksanakan tahun depan,” katanya.