Cemburu punca isteri kelar kemaluan dan leher suami

61
0

Cemburu dipercayai menjadi punca seorang wanita warga Sri Lanka bertindak nekad menikam dan mengelar suaminya pada bahagian kemaluan dan leher dalam kejadian di Meru, Jelapang di sini hari ini.

Mangsa berusia 40 tahun itu cedera parah setelah ditikam dan dikelar dengan pisau oleh isterinya dalam bilik di sebuah rumah kedai yang disewa pasangan itu pada pukul 12.36 tengah malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, mangsa yang juga warga Sri Lanka itu dijumpai orang awam dalam keadaan berlumuran darah sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Katanya, kejadian itu dipercayai dilakukan isteri mangsa berusia 48 tahun yang kini telah melarikan diri.

“Kita syaki kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang tidur di mana sebelum kejadian itu, telah berlaku perselisihan faham antara mangsa dan isterinya.

“Mangsa kemudiannya melarikan diri keluar dari premis itu untuk meminta pertolongan sebelum dijumpai orang awam yang kemudian menghantarnya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nordin, pemeriksaan di lokasi kejadian telah menjumpai senjata yang digunakan suspek iaitu sebilah pisau.

Katanya, berdasarkan corak tompokan darah yang ditemui, kejadian itu bermula dari atas tilam hingga ke luar bangunan tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri itu masuk ke negara ini secara sah sebagai pelancong namun berpindah randah antara satu negeri ke negeri lain.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.-UTUSAN ONLINE