GEMAS – Setiausaha Agung UMNO (SUA) Datuk Seri Ahmad Maslan merasa kecewa dengan segelintir netizen di dalam media sosial yang mempertikai dan mengatakan ahli politik termasuk UMNO datang ke tempat banjir hanya sekadar kunjungan politik dan bukannya turun padang membantu.
Katanya, kebanyakan ahli politik yang memberikan bantuan khususnya dari UMNO adalah ikhlas serta membawa barangan keperluan bagi membantu mangsa banjir.
“Kami (UMNO) datang membantu mangsa banjir bukannya datang ‘kosong’, kami datang membawa barangan bantuan pelbagai jenis dan juga membawa sukarelawan membersihkan kawasan dan bukannya ‘makan angin’.
“Barangkali mereka tidak nampak kita memunggah barang-barang yang dibawa tetapi kita turun membawa pelbagai jenis barangan, jadi patutnya tidak adalah tuduhan itu atau mungkin mereka yang bercakap itu tidak turun membantu mangsa banjir.
“Saya pastikan sukarelawan terlibat dengan aktif. Sebagai contoh orang politik mengatur segalanya di sini dan begitu juga pemimpin UMNO di semua kawasan juga mengaturnya malah yang hadir kita alu-alukan dan ramai yang membantu,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata sejak 20 Dis lalu hingga kini bersama-sama sukarelawan dari Ibu Pejabat UMNO, beliau telah menyantuni dan menziarahi mangsa banjir serta menyerahkan pelbagai jenis bantuan.
“Saya lihat di kawasan ini kordinasinya begitu baik iaitu Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan Timbalannya, Datuk Abdul Razak Abdul Said telah mengaturkan dengan cukup rapi serta menyalurkan segala bantuan yang diterimanya, diletakkan setempat dan semua sukarelawan dapat membantu.
“Sukarelawan yang terlibat terdiri dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan juga dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membersihkan rumah. Saya ucapkan terima kasih kepada ketua-ketua UMNO kepimpinannya kerana mengatur dan mengambil inisiatif membantu mangsa-mangsa banjir ini.
“Saya harap sukarelawan UMNO terus berikan bantuan kepada mangsa banjir malah sukarelawan UMNO kini masih juga aktif di semua tempat termasuk juga kepimpinan UMNO Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Skuad Sabil,” ujarnya lagi.
BACA juga: