“Ayat Saya Merujuk Kegagalan Pendakwaan Buktikan Kes” – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempertahankan ucapannya pada Ceramah Perdana di Tanjung Piai pada 6 Nov lepas berkenaan kes basikal lajak baru-baru ini.

“Ayat yang saya sebut itu bukan merujuk kepada mahkamah tetapi kepada kegagalan pendakwaan untuk buktikan kes dan belum memfailkan rayuan ketika itu. Terima kasih”, katanya dalam hantaran di facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membuat laporan polis terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian hari ini berhubung ucapan tersebut.

Dakwa Lim, kenyataan dibuat Ahmad Zahid telah mencemar nama baik dan menjejaskan badan kehakiman.

Lim yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Majistret Johor Bahru baru-baru ini membebaskan Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan. –UMNO ONLINE